Lewat urus jenazah: Polis terima tujuh laporan setakat ini

Lewat urus jenazah: Polis terima tujuh laporan setakat ini

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Polis mengesahkan menerima tujuh laporan berkaitan isu pengurusan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, laporan berkenaan diterima susulan penyebaran isu terbabit di media sosial.

“Rentetan daripada penyebaran tersebut, sehingga jam 5 petang hari ini, sebanyak tujuh laporan polis berkaitan isu ini telah diterima dan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu itu dan memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang telus secara terperinci terhadap semua pihak yang terlibat.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat boleh terus menghubungi Ketua Polis Balai Ampang di talian 03-4289 7222 ,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pemalsuan tandatangan bagi tujuan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, JSJK mengesahkan satu kertas siasatan dibuka berhubung pemalsuan tandatangan.

Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan kelewatan urusan pengebumian jenazah di tanah perkuburan berkenaan berpunca daripada pihak masjid.

Sebaliknya Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dipetik berkata, kelewatan sebenarnya berlaku akibat kekeliruan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top