am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Waris tidak pernah pegang dokumen palsu, kata Yang Dipertua Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), Wan Shahir Wan Abd Hamid.
Beliau mengulas isu kelewatan pengebumian seorang remaja 14 tahun yang meninggal akibat komplikasi usus bocor di Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana, Hulu Klang sehingga tular Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang mendakwa waris ada memegang dokumen palsu supaya tampil mengemukakan bukti.
“Saya juga sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran video di media sosial yang mendakwa wujudnya dokumen palsu.
“Tuduhan itu berpunca daripada seorang individu yang kami kenal mengeluarkan komen di Facebook yang sengaja diubah untuk memberi gambaran negatif terhadap BKS,” katanya ketika sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Shahir berkata, BKS membidas fitnah bahawa pertubuhan itu mengutip wang untuk khairat kematian dan meminta bayaran tambahan daripada waris.
“BKS tidak pernah mengutip khairat kematian. Apa yang kami kutip adalah yuran tahunan keahlian yang melayakkan ahli mendapat manfaat kebajikan seperti pengurusan jenazah dan haji.
“Malah, perkataan ‘khairat’ langsung tidak wujud dalam perlembagaan kami,” katanya.
Tambah Wan Shahir, BKS hanya memandikan dan mengkafankan jenazah remaja perempuan berkenaan tanpa meminta sebarang bayaran daripada keluarga si mati.
“Tiada sebarang kekecohan yang ditimbulkan BKS mahupun keluarga waris di tanah kubur itu. Pengurusan jenazah yang tiba pada jam 12 tengah hari sepatutnya berjalan lancar memandangkan lot kubur di bawah kendalian Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu sudah siap disediakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




