Hatiku teguh, emosiku runtuh

Hatiku teguh, emosiku runtuh

am@hmetro.com.my

Di sebalik senyuman seorang isteri, tersembunyi kisah pengorbanan jarang diceritakan.

Mereka bukan sahaja menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak, tetapi jururawat kepada suami yang terlantar sakit, hari demi hari dilalui tanpa tahu bila noktahnya.

Empat wanita ini berkongsi kisah sama diuji dengan pasangan hilang upaya secara tiba-tiba namun kekal teguh memikul peranan memikul peranan berat berganda demi cinta dan amanah terhadap insan tersayang. Ikuti kisah mereka.

Shah Alam: Hari-hari selepas persaraan sepatutnya menjadi ruang untuk berehat dan menikmati masa bersama keluarga, namun bagi Hariyati Ariffin, 65, realitinya jauh berbeza.

Bekas Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini, kini menghabiskan seluruh masanya sebagai penjaga sepenuh masa bukan sahaja untuk suami yang terlantar akibat strok, tetapi juga anak yang mengalami masalah kesihatan mental.

Tugas itu bukan sekadar fizikal, malah menekan emosi dan kewangan.

Setiap malam dilalui bukan dengan lena, tetapi berjaga menguruskan suami yang perlu dipantau 24 jam.

Setiap bulan, hampir seluruh wang pencen dan simpanan digunakan untuk membeli lampin, susu khas, membayar jururawat serta rawatan fisioterapi.

“Saya hanya nak tidur tenang, dapat sekejap pun jadilah. Ramai tak faham, ingat senang jaga orang sakit, tetapi mereka tak pernah ada di tempat saya.

“Suami saya perlu dipantau 24 jam, buang air besar dan kecil semua saya urus, malam saya tak tidur, siang pun tak lena,” luahnya.

Hariyati tidak pernah menyangka usia emasnya selepas bersara diisi dengan perjuangan tanpa henti sebagai penjaga sepenuh masa.

Sejak suaminya, Mohd Zaini Sayuti, 70, diserang strok lapan tahun lalu, hidupnya berubah 180 darjah daripada pendidik dihormati kepada isteri dan ibu yang hampir hilang kewarasan akibat tekanan berterusan.

Katanya, kos penjagaan juga tinggi, untuk lampin pakai buang mencecah hampir RM1,000 sebulan dan belum termasuk fisio, makanan khas, susu kesihatan dan ambulans yang setiap satunya menelan belanja ratusan ringgit.

“Sekarang pun, nak upah orang mandikan suami saya perlu kira bajet, duit caruman KWSP suami sebanyak RM150,000 habis dalam tiga tahun untuk menampung kos rawatan dan penjagaan,” katanya.

Beban kewangan itu memaksa Hariyati bertahan walau emosinya runtuh saban hari, pernah dia mendapatkan rawatan psikiatri kerana kemurungan teruk.

“Saya pernah menangis tengah malam kerana bunyi loceng ditekan suami tak henti dari siang sampai ke malam, saya kata pada doktor, saya terlalu penat dan letih,” katanya

Bagi Hariyati, ramai penjaga seperti dirinya tidak tahu mereka layak menerima bantuan kerana rasa malu dan takut dengan persepsi masyarakat menyebabkan mereka menanggung derita dalam diam.

Dia juga berharap kerajaan dapat mewujudkan sistem sokongan kewangan tetap untuk penjaga sepenuh masa, terutama wanita yang senasib denganya.

Ditanya sampai bila dia akan bertahan, bagi dirinya kekuatan datang daripada Allah SWT.

“Saya sendiri tak tahu macam mana saya bertahan. Tapi saya yakin, kalau bukan kerana Allah, saya dah lama rebah,” kata ibu empat orang anak ini.

“Jika boleh, berilah kami peluang untuk jana pendapatan menggunakan pengalaman yang ada dan kalau saya dapat diterima untuk mengajar secara online pun jadilah, sekurang-kurangnya dapat sikit buat tampung kos sara hidup kami,” katanya.

Lelah terubat lihat respons positif suami

Kuala Selangor: Menjaga suami terlantar bukanlah tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila tidak mampu bergerak dan tidak mengenal sesiapa.

Itulah realiti dilalui Siti Nohasmaini Jusoh, 44, sejak suaminya Abdul Nasir Mahmud, 56, terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Disember 2020.

Akibat kecederaan parah di kepala, Abdul Nasir perlu menjalani pembedahan segera, berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 20 dan 28 hari di wad biasa.

Lebih mencabar, kejadian itu berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19, sekali gus menyukarkannya berada di sisi suami.

Siti Nohasmaini berkata, ketika suami dibawa pulang ke rumah, barulah dia sedar betapa sukarnya menjaga orang sakit terlantar.

“Suami tidak kenal sesiapa, hanya minum susu dan ada kalanya saya terpaksa ikat tangannya terutama semasa memasak kerana takut dia cederakan diri.

“Saya perlu berulang-alik ke hospital lebih kurang lima hingga enam kali sebulan dengan kereta sendiri,” katanya.

Sebagai isteri dan ibu, tekanan emosi dan fizikal yang dihadapi Siti Nohasmaini cukup besar.

Katanya, ketika suami mula-mula sakit, beban itu tidak terasa sangat kerana PKP namun apabila PKP berakhir dan anak mula bersekolah serta bekerja, beban itu mula dirasai.

“Dugaan bertambah apabila anak buah yang saya besarkan dan selalu membantu patah tangan akibat kemalangan. Tuhan sahaja tahu bagaimana uruskan dua orang sakit serentak.

“Tekanan ahli keluarga dan orang terdekat yang tidak memahami menambahkan kesukaran yang saya hadapi,” katanya.

Sejujurnya, Siti Nohasmaini pernah merasa putus asa tetapi apabila melihat suami dan anak yang sentiasa memberi kata-kata semangat serta membantu, dia kembali kuat.

Di awal suami terlantar, bebanan kewangan tidak terasa kerana ketika itu, wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan selain menerima sumbangan bakul makanan semasa Covid-19, jiran dan tabung derma kilat yang diusahakan pakcik suaminya.

“Zakat juga meringankan beban terutama bantuan lampin pakai buang, susu, tisu basah, dan perbelanjaan bulanan untuk suami,” katanya.

Namun kos rawatan masih tinggi dan demi kelangsungan hidup, Siti Nohasmaini kini menjual kerepek pisang dan menjahit serta tinggal di kedai yang disewa sejak Disember 2024.

Dalam kelelahan itu, melihat respon positif dari suami menjadi asbab untuk Siti Nohasmaini mengukir senyuman kembali.

“Saya harap suami berjalan semula walaupun ingatannya tidak boleh normal macam dulu dan berdoa anak terus kuat serta berjaya.

“Diharap pihak berwajib tidak hanya menghulurkan bantuan bermusim tetapi turun melawat dan melihat sendiri bantuan apa yang amat kami perlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top