Ambulans dalam perjalanan ambil pesakit terbalik

Ambulans dalam perjalanan ambil pesakit terbalik

am@hmetro.com.my

Melaka: Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) terbabas dan terbalik dipercayai akibat jalan licin dekat Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, dekat sini, pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira 10.40 pagi itu menyebabkan pembantu perubatan berusia 30 tahun cedera manakala pemandu berusia 40 tahun selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 10.48 pagi dan sebuah jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Sebaik tiba 10 minit kemudian pasukan keluaran operasi mendapati ambulans jenis Toyota Hiace berkenaan masih berada di tempat kejadian dan terdapat seorang lelaki cedera.

“Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamed Azuani Mat Yusof memaklumkan mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dihubungi di sini.

Difahamkan ketika kejadian ambulans terbabit dalam perjalanan untuk mengambil pesakit sebelum ia terbalik ketika melalui selekoh dipercayai akibat jalan licin selepas hujan.

Kemalangan yang mengakibatkan kesesakan jalan utama itu sejauh hampir satu kilometer turut tular apabila video kejadian dikongsikan di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top