razis@mediaprima.com.my
Bagi anda yang baru memiliki kediaman dan masih tercari-cari dekorasi yang bersesuaian, wabi sabi adalah konsep yang boleh dipertimbangkan.
Konsep yang berasal dari Jepun ini, sesuai bagi pemilik kediaman yang inginkan ‘kelainan’ dan lari daripada dekorasi tipikal yang biasa dilihat.
Wabi sabi adalah satu bentuk konsep hiasan dalaman mengetengahkan sesuatu yang tidak ‘sempurna,’ tidak kekal atau tidak lengkap, namun ia boleh menjadi sesuatu yang begitu indah apabila bijak dalam tata hias.
Boleh dikatakan, ia adalah satu konsep yang sama sekali bertentangan dengan konsep japandi dan muji yang antara lain mementingkan kesempurnaan dari segala aspek.
Berbeza dengan wabi sabi yang menitik beratkan kesederhanaan dan melihat keindahan dalam ketidaksempurnaan yang terhasil sama ada dari segi reka bentuk perabot, tekstur, hiasan dan warna.
Pada masa sama, konsep ini merangkumi penerimaan keunikan bahan semula jadi dan ciri-ciri yang terkesan oleh masa serta menggalakkan suasana tenang dan harmoni dalam kediaman.
Berikut adalah lima ciri konsep wabi sabi
1. Penggunaan bahan semula jadi
Penggunaan bahan semula jadi antara aspek yang dititik beratkan dalam konsep wabi sabi kerana ia dapat mencipta suasana yang dekat dengan alam semula jadi. Antara bahan yang biasanya digunakan terutama perabot dan binaan kediaman adalah terdiri daripada kayu, batu dan tanah liat kerana tekstur bahan ini memiliki karakter yang unik dan menarik
2. Menerima ‘ketidaksempurnaan’
Seperti diketahui antara ciri-ciri wabi sabi adalah menerima ketidaksempurnaan. Bagi penggemar konsep ini, ketidaksempurnaan yang terhasil sama ada secara sengaja atau sebaliknya mempunyai keindahan tersendiri. Antaranya ketidaksempurnaan yang boleh dilihat adalah tekstur semula jadi dan reka bentuk yang boleh dilihat pada perabot dan hiasan yang digunakan.
3. Melatari kediaman dengan warna bumi
Penggunaan warna-warna bumi yang terinspirasi dari alam seperti coklat, kelabu dan hijau sesuai bagi individu yang mengetengahkan ciri-ciri konsep wabi sabi. Warna bukan hanya membabitkan dinding semata-mata, tapi turut mengambil kira warna perabot untuk mencipta suasana yang tenang dan nyaman.
4. Penjimatan ruang dan kesederhanaan
Kesederhanaan dalam susun atur amat dititik beratkan dalam konsep wabi sabi. Pemilik kediaman perlu bijak membuat susun atur dan tidak terlalu menggunakan banyak perabot yang boleh memberi kesan terhadap ruang. Ruang adalah penting untuk menggalakkan aliran udara dan pergerakan yang lancar. Dalam hal ini, cara paling efektif adalah menggunakan ruang penyimpanan tersembunyi atau penggunaan perabot pelbagai guna.
5. Pencahayaan semula jadi
Pencahayaan memainkan peranan penting dalam mencipta suasana yang selesa dan tenang. Dengan memaksimumkan pencahayaan dapat menyerlahkan keindahan tekstur dan warna bahan-bahan yang digunakan. Pemilik kediaman boleh memanfaatkan penggunaan cahaya semula jadi atau menggunakan lampu yang bersesuaian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




