Philadelphia: Pemain muda sensasi Argentina, Franco Mastantuono dianggap meninggalkan River Plate terlalu awal oleh jurulatihnya sendiri, Marcelo Gallardo, selepas kelab Sepanyol, Real Madrid memuktamadkan perpindahan bernilai sekitar AS$45 juta (RM211 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 17 tahun itu.
Menurut Gallardo, kehilangan Mastantuono memberi kesan besar kepada perancangan pasukan River Plate tahun ini kerana pemain tengah itu sepatutnya memainkan peranan penting dalam kejohanan seperti Piala Dunia Kelab yang sedang berlangsung.
“Projek sukan kami untuk tahun ini memang membabitkan dia. Kami perlu sesuaikan semula pasukan kerana pemain seperti dia bukan mudah diganti,” kata Gallardo kepada ESPN.
Walaupun memahami trend semasa bola sepak moden yang menyaksikan ramai pemain muda direkrut lebih awal oleh kelab gergasi Eropah, Gallardo mengakui ia satu kerugian besar buat kelab dari Amerika Selatan.
“Semuanya berlaku terlalu cepat. Kami melatih pemain untuk ke pentas dunia, tetapi kadangkala mereka pergi sebelum benar-benar matang,” katanya.
Gallardo turut memuji sikap profesional Mastantuono yang kekal fokus bersama pasukan walaupun sedang menjadi tumpuan media dan peminat seluruh dunia.
“Saya hanya mahu dia terus bermain secara semula jadi. Lupakan semua perkara di luar padang yang mengganggu,” ujarnya.
River Plate memulakan kempen Piala Dunia Kelab dengan kemenangan 3-1 ke atas Urawa Red Diamonds dari Jepun.
© New Straits Times Press (M) Bhd