“Saya Ikhlaskan Saja…” – Khai Bahar Tak Jadi Saman Penyebar Fitnah, Syak ‘Kawan Sendiri’ Dalang Sebenar

“Saya Ikhlaskan Saja…” – Khai Bahar Tak Jadi Saman Penyebar Fitnah, Syak ‘Kawan Sendiri’ Dalang Sebenar

Penyanyi terkenal, Khai Bahar memilih untuk memaafkan dan tidak mahu memanjangkan isu fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya di platform media sosial.

Menurut Khai, dia pada awalnya memang bercadang mengambil tindakan undang-undang, namun berubah hati selepas individu yang dipercayai menggunakan akaun palsu itu bertindak memadam semua hantaran berbaur fitnah.

“Saya dah tak teruskan. Saya pilih untuk ikhlaskan dan lepaskan saja. Dia pun dah padam semua,” katanya kepada media ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video Beri Sedikit Waktu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khai percaya individu terbabit adalah kenalan rapat kerana hantaran yang disebarkan itu adalah daripada ciri ‘close friends’ di Instagram.

“Yang buat saya pelik, dia ada ‘screenshot’ daripada hantaran di close friend. Jadi saya rasa macam orang terdekat. Sebab bukan semua orang boleh tengok benda tu.

“Tapi saya tak tahu siapa. Akaun palsu dan semua dah dipadam. Motif dia pun saya tak pasti,” katanya.

Walaupun sudah beberapa kali menjadi mangsa tuduhan palsu, Khai tetap tenang dan terbuka jika ada pihak tampil dengan bukti kukuh.

“Kalau benda tu betul dan ada bukti, saya terima. Tapi kalau fitnah, saya akan cakap tak betul. Saya pun manusia biasa, ada silap. Kalau ditegur, saya padam, saya perbaiki,” ujarnya.

Tambah pelantun lagu Luluh itu lagi, dia tetap akan berkongsi momen hidup di media sosial walaupun berdepan risiko disalah tafsir oleh segelintir pihak.

“Saya ni jenis random. Kalau rasa nak post, saya post. Bukan sebab nak tunjuk apa-apa. Saya cuma nak jadi lebih bahagia dengan berkongsi,” akhirnya.

Sekitar Mei lalu, Khai meluahkan rasa kecewa apabila sebuah akaun memuat naik semula video dirinya bersama adik ipar di dalam kereta, yang kemudian mengundang pelbagai spekulasi liar.

Susulan itu, Khai pernah menyatakan hasrat mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun berkenaan, namun menarik semula niat tersebut.

Scroll to Top