Magis muzik ABBA satukan peminat pelbagai generasi

puterialia@hmetro.com.my

Tidak mengenal usia, bangsa, mahupun negara, konsert Björn Again – The ABBA Forever Tour 2026 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Ogos lalu berjaya mencetuskan fenomena dan melakar memori manis buat ribuan peminat muzik retro di negara ini.

‘Band tribute’ kumpulan legenda, ABBA yang dianggotai Agnetha Falstart (vokalis), Frida Longstokin (vokalis), Björn Volvo-us (gitaris), Benny Anderwear (piano), Rutger Sonofagunn (basis) serta Ola Drumkitt (dram) itu nyata berjaya ‘menggoncang’ pentas dengan aksi bertenaga.

Tinjauan seawal jam 8 malam mendapati ruang sekitar pentas sudah mula dipenuhi penonton pelbagai latar belakang serta pelancong dari pelbagai negara.

Masing-masing tampil ‘all-out’ dengan pelbagai gaya termasuk busana yang berkilau bagi menghidupkan suasana era 70-an.

Suasana sebelum konsert dihangatkan lagi tepat jam 8.18 malam menerusi paparan kuiz interaktif lebih daripada lima soalan mengenai ABBA di skrin utama.

Lebih menarik, alunan lagu ikonik I Will Survive dipasang turut membuatkan sebahagian penonton tidak segan mempamerkan tarian pemanas badan sebelum konsert bermula.

Tepat jam 8.41 malam, lampu dewan dipadamkan dan tayangan montaj video ABBA dan Björn Again yang mula dimainkan sambil disambut sorakan serta tepukan gemuruh penonton.

Tepat jam 8.45 malam, tirai persembahan dibuka menerusi lagu penuh ikonik yang berjudul Waterloo.

“Kuala Lumpur, terima kasih kerana merealisasikan impian kami,” kata Agnetha menyapa penonton.

Kehangatan diteruskan menerusi lagu Fernando yang menyaksikan suasana dewan bertukar menjadi serba indah apabila pancaran bola kristal berkilau di udara diserikan lagi dengan cahaya lampu telefon bimbit penonton.

Suasana bertambah gamat sebelum lagu Honey Honey dipersembahkan apabila Agnetha mula memecah keheningan ruang Zepp dengan dialog mesra.

“Seronok sekali dapat bersama anda semua. Kami sangat teruja. Adakah anda juga teruja untuk berada di sini?” soal Agnetha yang disambut dengan sorakan penonton.

Tidak ketinggalan, peminat filem muzik popular berjudul Mamma Mia! turut teruja apabila salah satu lagu ikonik dalam filem berkenaan iaitu lagu When I Kiss the Teacher dipersembahkan.

Menyentuh nilai persahabatan pula, Björn mengambil alih pentas sebelum menyanyikan lagu Chiquitita.

Sesi segmen pertama diakhiri dengan nyanyian lagu Thank You For The Music yang menyaksikan penonton berdiri beramai-ramai sambil menepuk tangan.

“Anda semua tahu bahawa muzik ABBA membawa begitu banyak kegembiraan dan kebahagiaan dalam hidup kita semua dan kami tidak dapat memikirkan lagu yang lebih baik sebagai cara kami mengucapkan terima kasih,” luah Björn.

Beliau turut meluangkan masa bersama penonton dengan mengambil ‘selfie’ gergasi bersama penonton.

Selepas berehat selama 20 minit, Frida dan Agnetha yang masing-masing menukar pakaian mereka menyambung konsert itu semula tepat jam 10 malam dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Does Your Mother Know.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila lagu Ring Ring dimainkan apabila hampir semua penonton tidak kira tua mahupun muda yang berada di aras bawah mahupun atas berdiri menari mengikut rentak lagu.

Suasana terus gamat menerusi lagu Gimme! Gimme! Gimme! apabila penonton yang pada awalnya yang mahu duduk kembali berdiri sebaik mendengar lagu berkenaan mula dimainkan.

Antara segmen paling mengejutkan apabila Benny menukar nada persembahan kepada genre rock menerusi lagu popular kumpulan Bon Jovi, Living On A Prayer.

“Siapa yang mahu mendengar muzik rock sebenar sekarang? Ada apa-apa dalam fikiran anda? Ya, saya terfikir mungkin sesuatu seperti ini,” kata Benny sebelum menyampaikan lagu rock popular itu.

Bukan itu sahaja, Ola Drumkitt turut memukau dewan menerusi segmen solo dram yang cukup mengujakan sehingga mendapat tepukan gemuruh.

Sejurus lagu yang cukup ikonik itu tamat, pentas menjadi gelap gelita secara tiba-tiba, memaksa penonton menjerit ‘encore’ tanpa henti untuk memanggil mereka kembali berada atas pentas.

Gema nostalgia era 70-an mencapai kemuncaknya apabila dua lagu paling dinantikan iaitu Mamma Mia dan Dancing Queen dipersembahkan.

Suasana bertukar menjadi riuh apabila hampir semua penonton berdiri sambil menari dan menepuk tangan tidak mengira usia.

“Kami sudah menikmati masa yang indah di Kuala Lumpur dan kami berharap dapat kembali lagi tidak lama lagi,” kata Björn.

“Kuala Lumpur, kami benar-benar menikmati masa yang hebat bersama anda semua. Kami tidak sabar untuk kembali lagi. Berikan tepukan gemuruh untuk diri sendiri,” tambah Frida sebelum mengakhiri persembahan.

Penutup aksi, semua ahli kumpulan itu membaling beberapa helai baju sebagai cenderamata kepada penonton di bawah pentas sambil diiringi alunan lagu YMCA.

Antara deretan lagu hit lain yang turut disenaraikan sepanjang malam penuh bermakna itu ialah termasuk Super Trouper, Money, Money, Money, The Winner Takes It All, Knowing Me, Knowing You, Slipping Through My Fingers, I Have A Dream, Lay All Your Love On Me, The Name Of The Game serta Take A Chance On Me.

Björn Again yang sudah mengadakan persembahan lebih 120 negara dan kekal sebagai satu-satunya kumpulan ‘tribute’ yang menerima pengiktirafan serta penghormatan rasmi daripada kumpulan ABBA sendiri.

Kehadiran mereka bukan sekadar sebuah persembahan ‘tribute’, malah menjadi malam keramat yang berjaya merentas sempadan usia dan seolah-olah kembali ke era 70-an menerusi lantunan lagu malar segar.

Jelas sekali magis muzik ABBA terus hidup dan menyatukan semua yang hadir dalam satu aura luar biasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top