saufi@mediaprima.com.my
Trend pengguna hari ini cenderung untuk memilih peranti yang dilengkapi dengan keupayaan kamera bersama kefungsian Kecerdasan Buatan (AI).
Selain itu, pengguna juga cenderung untuk memilih kapasiti bateri yang besar untuk membolehkan peranti kekal ‘bertenaga’ sepanjang hari tanpa sebarang masalah.
Untuk itu, anda boleh memilih peranti baharu keluaran Honor iaitu Honor 400 Pro atau variasi biasa, Honor 400 yang turut menampilkan pelbagai kefungsian sesuai dengan kegunaan pengguna hari ini.
Melihat kepada aspek teknikal, peranti ini hadir dengan skrin 6.7 inci AMOLED dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 serta Unit Pemproses Grafik (GPU) Adreno 750.
Menyentuh variasi Honor 400 Pro, ia bukan sekadar ‘peranti pintar’ tetapi ia dilengkapi dengan teknologi pintar yang benar-benar memudahkan pengguna.
Momen kenangan boleh ditukar kepada visual yang menghidupkan gambar pegun sekali gus menjadi peranti pertama yang menawarkan teknologi AI menghidupkan imej pegun atau dikenali sebagai ‘AI Image To Video.’
Bagi kefungsian permainan mudah alih juga, peranti ini dilengkapi dengan skrin yang menyokong kadar segar semula 120Hz bersama kecerahan maksimum 5,000nits dan turut didatangkan dengan bateri silikon karbon berkapasiti 6,000mAh.
Kapasiti bateri yang besar akan membolehkan pengguna menikmati permainan kegemaran mereka sepanjang hari tanpa perlu bimbang untuk mencari punca kuasa bagi melaksanakan pengecasan.
Aspek binaan fizikal pula, peranti ini persis binaan peranti pintar kelas premium tinggi yang dibina dengan kukuh bersama rekaan lensa unik.
Selain ‘AI Image To Video,’ Siri Honor 400 juga dilengkapi dengan banyak alat penyuntingan AI berkelas profesional seperti ‘AI Eraser,’ ‘AI Outpainting,’ ‘AI Cutout,’ ‘AI Upscale’ dan ‘Moving Photo Collage’ bagi pengguna mengedit, memadam, meluas dan memperbaiki gambar mereka dengan pantas.
Menerusi siri Honor 400, pengguna bebas mencipta, menyunting dan menyampaikan kisah visual lebih menarik dengan hanya beberapa sentuhan mudah.
Siri Honor 400 bukan sahaja pintar, bahkan menampilkan reka bentuk menawan yang diinspirasikan dari keindahan alam semula jadi.
Peranti ini memiliki bentuk yang ringan, lengkungan bucu dan profil nipis, memberikan keselesaan apabila dipegang.
Di samping itu, peranti variasi Honor 400 Pro hadir dengan reka bentuk tiga kamera yang menawan, manakala model standard menampilkan dwi-kamera.
Kesimpulannya, Honor 400 Pro sesuai untuk pengguna yang mahukan ciri – ciri kelas perdana seperti skrin terang, prestasi pantas, kamera berkuasa dan sokongan AI kreatif.
Tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




