Memang mantap

Memang mantap

georgie@hmetro.com.my

Penantian lebih enam tahun tidak dipersiakan penyanyi rap, Jay Park sewaktu menjayakan konsert 2025 Jay Park World Tour [Serenades & Body Rolls] in Kuala Lumpur di Zepp KL, baru-baru ini.

Jay atau nama sebenarnya Park Jae-beom, 38, ternyata benar-benar mempersiapkan diri dari pelbagai aspek demi puaskan lebih 1,600 penonton. Setiap saat konsert itu sarat dengan detik-detik manis.

Kalau ikutkan, tiada apa yang boleh dipersoalkan mengenai pesona dan corak menghibur penyanyi Count On Me ini. Tenaga yang dipamerkan dalam setiap persembahan sentiasa mengagumkan.

Jay Park terkenal sebagai artis serba-boleh di atas pentas. Bukan setakat nyanyian padu, paling dinantikan adalah kelincahannya menari kerana dia memang penari hebat.

Pada kunjungan kali ini, dia memanfaatkan sepenuhnya pentas dengan menampilkan DJ, penari, pencahayaan yang menarik, serta jemputan khas rakan-rakan artis dari Malaysia.

Walaupun konsert ini berskala sederhana, tetapi masih terasa gah dan meriah suasana itu. Jeritan penonton pun tidak berhenti disebabkan dipukau dengan kelincahan dan tenaga Jay Park.

Semestinya penyanyi itu juga tersentuh hati melihat sokongan berterusan diraihnya di sini. Namanya bukan asing lagi di Malaysia, pelbagai acara dan konsert sudah dia jayakan di sini sejak lebih sedekad lalu.

“Terima kasih semuanya kerana sudi hadir. Ayuh berseronok hari ini. Sudah enam tahun lamanya saya tidak ke sini. Saya sangat berbesar-hati dapat kembali semula. Peminat baharu pun ada,” katanya.

Seperkara yang ketara, coraknya menakluk pentas pun memang sentiasa semula jadi. Dia jenis banyak berceloteh menjadikan suasana terus ‘hidup’ dan memberi maklum balas kepada peminat.

Inisiatifnya untuk belajar ayat-ayat dalam bahasa Malaysia pun amat menyentuh sebenarnya. Walaupun ayat-ayat itu ringkas saja, tapi usahanya amat terpuji dalam memikat peminat tempatan kita.

“Semua cantik! Aku cinta kamu!” antara ayat yang diulang-ulangnya.

Konsert kali ini juga paling bermakna kerana menjadi simbol penting meraikan persahabatan akrabnya dengan artis tempatan Malaysia.

Dia tidak berseorangan, sebaliknya kehangatan lebih terasa dengan penampilan Raja Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow, Dolla, Yuna dan SonaOne yang dijemputnya untuk turut menghiburkan serta memeriahkan acara.

Banyak detik signifikan yang pastinya memberi makna besar buat Jay Park secara peribadi. Pentas itu menjadi saksi untuk momen begitu kerana dilakukan buat pertama kalinya.

Antaranya persembahan julung kali menyanyikan lagu Ciao hasil kerjasamanya dengan Joe Flizzow. Lagu dilancarkan pada 2021 itu menunggu empat tahun dipersembahkan secara langsung bersama.

Kemudian, dia turut menampilkan tiga anggota Dolla iaitu Angel, Tabby dan Sabronzo untuk menari serta mengiringi persembahannya. Gabungan yang sangat dinamik.

Semua rakan penghiburnya itu diberikan slot persembahan khas. Justeru, kepuasan penonton lebih berganda kerana disajikan persembahan yang sudah berskala festival muzik.

Bermula tepat jam 5 petang, konsert berkenaan berlangsung selama hampir tiga jam. Momentum atas pentas memang berterusan hangat kerana Jay Park pun pamerkan pelbagai sisi persembahan.

Pada konsert itu, dia menghiburkan semua dengan himpunan lebih 30 lagu-lagu hitnya. Antaranya Ohx3 + Drive, My Last, LikelDo, Candy, V + iffy, Yacht, GANADARA, Need To Know, Yesterday, The truth is, Dank, Forget About Tomorrow, Why, Gimme a Minute, 100 Days + Mayday, Solo, dan All I Wanna Do.

Tidak ketinggalan lagu Taxi Blurr, Me Like Yuh, DNA + Blue Check, ONIT, Mr. Show & Prove, SOJU + K-TOWN, YOU KNOW + Ain’t No Party Like an AOMG Party, McNasty, Keep It Sexy, MOMMAE, SEXY 4 EVA, Count on Me, dan The Purge + Who You.

Sementara Dolla pula menyanyikan Damelo dan MWA, Joe Flizzow dan SonaOne nyanyu Havoc. Yuna membuat penampilan khas untuk lagu Does She bersama Jay Park.

Selepas konsert itu, dia sempat meluangkan masa bersama Joe Flizzow meneroka keindahan Kuala Lumpur. Dia juga berkongsi momennya berseronok di sini sebelum ke lokasi konsert seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top