kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Agrobank membuka penyertaan untuk Agro Biz Awards 2025 sehingga 31 Julai 2025.
Anugerah itu bagi menghargai kecemerlangan dan sumbangan luar biasa pemain industri komuniti tani dalam
memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Agrobank menerusi kenyataan berkata, Agro Biz Awards adalah anugerah berprestij yang meyasarkan perniagaan dan usahawan dalam pelbagai sektor komuniti tani.
Ia bakal mempertaruhkan lima kategori utama. Antaranya, Agrobank SME of the Year, Agrobank Biz Women Award, Agrobank Biz Youth Award, Agrobank Biz Innovation Award dan Agrobank Biz Disability Empowerment Award.
Pemain industri komuniti tani yang berminat untuk menyertai anugerah ini boleh memuat turun borang penyertaan melalui portal rasmi Agrobank.
Selain itu, sebagai alternatif, borang penyertaan boleh didapati di cawangan Agrobank berhampiran di seluruh Malaysia.
Borang penyertaan yang dilengkapkan hendaklah diserahkan ke cawangan Agrobank terdekat berserta dengan dokumen sokongan yang diperlukan.
Peserta juga diwajibkan untuk mengemukakan laporan pencapaian komprehensif sebagai indikator impak positif perniagaan dalam sektor pertanian dan agromakanan.
“Sebagai bahan sokongan, peserta juga dikehendaki menyediakan video penyertaan berdurasi tidak melebihi tiga minit.
“Calon terpilih akan dihubungi untuk menghadiri sesi temu duga dan pembentangan bagi memperkukuh permohonan penyertaan,” kata Agrobank.
Kesemua kriteria kelayakan dan prosedur pencalonan adalah terikat dengan terma dan syarat yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




