Kirsty cipta sejarah, terajui IOC sebagai wanita dan wakil Afrika pertama

Kirsty cipta sejarah, terajui IOC sebagai wanita dan wakil Afrika pertama

Lausanne: Legenda renang Olimpik dari Zimbabwe, Kirsty Coventry, secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), sekali gus mencipta sejarah sebagai wanita dan wakil Afrika pertama mengetuai badan tertinggi sukan dunia itu.

Kirsty, 40, yang juga pemenang tujuh pingat Olimpik termasuk dua emas acara 200 meter kuak lentang, memulakan tempoh lapan tahun kepemimpinannya selepas menggantikan Thomas Bach dalam satu majlis penyerahan rasmi di Lausanne, Switzerland.

Beliau dilantik ke jawatan itu pada Mac lalu selepas menewaskan enam calon lain dalam satu pusingan undian, dan kini memegang kuasa tertinggi dalam pentadbiran sukan global, termasuk menguruskan hak penyiaran dan tajaan bernilai berbilion dolar untuk temasya Olimpik musim panas dan musim sejuk.

“Saya amat berbesar hati dan teruja untuk memulakan perjalanan ini bersama anda semua. Saya tidak sabar menanti segala cabaran dan peluang yang bakal mendatang,” kata Kirsty dalam ucapan sulungnya kepada ahli IOC dan pihak berkepentingan.

Beliau turut diberikan kunci emas IOC oleh Bach yang menerajui badan itu selama 12 tahun.

Kirsty menyuarakan komitmennya untuk memperkukuhkan pergerakan Olimpik menerusi perpaduan dan pembaharuan.

Sepanjang minggu ini, beliau akan menganjurkan bengkel dua hari bagi mendapatkan maklum balas daripada ahli IOC mengenai isu-isu penting organisasi.

“Bekerjasama secara konsisten untuk memperkukuh dan menyatukan gerakan kita adalah kunci agar kita terus bangkit setiap hari… untuk memberi inspirasi,” ujarnya.

Olimpik musim panas 2028 akan dianjurkan di Los Angeles, manakala Olimpik musim sejuk 2026 bakal berlangsung di Milano-Cortina, Itali.

Pelantikan Kirsty disambut baik oleh Bach yang menyifatkannya sebagai simbol transformasi IOC.

“Dengan memilih Kirsty, anda menghantar mesej jelas kepada dunia, IOC terus berkembang. Di bawah kepemimpinannya, pergerakan Olimpik berada di tangan yang terbaik,” kata Bach.

Kirsty bukan sekadar bekas atlet hebat, malah berpengalaman luas dalam pentadbiran sukan, termasuk pernah memegang jawatan Menteri Sukan di Zimbabwe.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top