“Setiap Individu Ada Cara Tersendiri Untuk ‘Move On’… Saya Serahkan Semua Kepada Allah” – Fattah Amin

“Setiap Individu Ada Cara Tersendiri Untuk ‘Move On’… Saya Serahkan Semua Kepada Allah” – Fattah Amin

Pelakon popular, Fattah Amin, 35, percaya setiap orang memiliki cara tersendiri untuk bangkit dan meneruskan kehidupan selepas melalui episod perpisahan.

Aktor yang mula dikenali menerusi drama bersiri Playboy Itu Suami Aku itu menjelaskan tiada salahnya jika seseorang dilihat cepat melupakan masa lalu kerana fasa kehidupan yang dilalui setiap individu adalah berbeza.

“Ajal dan maut, semuanya ketentuan Tuhan. Bagi saya, semua yang terjadi ada hikmah dan jodoh saya pun dah ditetapkan sekali.

“Apa yang saya lalui ini adalah takdir dan jalan yang Allah tetapkan. Jadi saya ‘move on’ atau saya dapat jodoh cepat atau lambat, saya serah pada Allah. Itu saja,” kata Fattah kepada XTRA.

Fattah mengulas perkara terbabit selepas ditanya mengenai dakwaan warganet yang menyifatkan dirinya cepat ‘move on’ selepas bercerai dengan aktres Nur Fazura pada 7 Oktober 2024.

Fattah ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk minuman tenaga Orang Kampung (OK), sebentar tadi.

Tambah bapa kepada seorang cahaya mata itu, dia turut bersetuju ada lelaki yang lebih mudah melupakan kisah silam berbanding wanita, namun perkara itu tetap bergantung kepada pengalaman hidup masing-masing.

“Kalau nak cakap mengenai ‘move on’, kena tanya balik mereka, ‘move on’ dari segi apa? Kalau hal perceraian itu bagi saya bergantung kepada individu. Kita tak boleh menyamakan cara setiap orang ‘move on’ itu sama, sebab setiap orang melalui fasa kehidupan berlainan.

“Mungkin ada sebab mereka cepat melupakan, kena tanya dia balik. Ada pula yang lambat, bagi saya cepat atau lambat terpulang pada individu. Sama juga seperti jodoh, ada yang datang cepat dan ada jodoh yang lambat,” jelas Fattah.

Untuk rekod, Fattah dan Nur Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum mengumumkan perceraian mereka pada 7 Oktober tahun lalu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Scroll to Top