am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang pekebun kecil di Bentong kerugian hampir RM240,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 37 tahun diperdaya oleh suspek yang memperkenalkan pelaburan dikenali ‘Best Bit’ menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, mangsa kemudiannya diberikan pautan laman sesawang untuk melabur dengan menjanjikan kepada mangsa keuntungan yang lumayan.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudiannya membuat 41 transaksi kepada 19 akaun bank yang keseluruhannya berjumlah RM239,804 bermula dari 22 Mac hingga 16 Jun lalu.
“Sumber kewangan bagi pelaburan itu daripada wang simpanan mangsa dan pinjaman. Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati tiada sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
© New Straits Times Press (M) Bhd




