Anggota kumpulan Elite, Linda Rafar enggan memanjangkan isu mengenai kritikan busana yang dipakainya pada acara sidang media konsert Elite Live 2025 pada Isnin.
Kata Linda atau nama penuhnya, Azlinda Abdul Rafar, 47, pakaian yang dipakainya ketika acara itu berlangsung telah disediakan sepenuhnya oleh pihak pengurusan dan mengikut saiz ukuran masing-masing.
Tambahnya, dia dan anggota Elite lain tidak mahu menyusahkan pihak pengurusan yang selama ini sudah bertungkus-lumus menyediakan segala keperluan mereka.
“Assalamualaikum semua, di sini saya ingin menjelaskan kepada semua yang memberi komen negatif tentang pakaian yang Linda peragakan di semua ruang sosial media semasa sidang media pada Isnin.
“Semuanya telah disediakan oleh pihak pengurusan mengikut saiz masing-masing.
“Tiada pilihan ke-2 atau ke-3.. Jadi saya sebagai seorang anak seni hanya ingin mempermudahkan segala urusan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan,” katanya.
Perkara itu dikongsi Linda menerusi hantaran terkini di ruangan Instagram miliknya.
Mengulas lanjut, Linda berkata, dia juga berasa tidak selesa dengan pakaian berkenaan, namun tidak mempunyai sebarang pilihan.
“Hanya rakan-rakan serta team sahaja yang tau.. Saya tidak selesa untuk memakai pakaian tersebut.
“Saya tiada pilihan ke-2.. Niat saya hanya ingin menyelesaikan kerja dan bagi yang terbaik. Insya-Allah segala comment serta nasihat yang diberikan akan saya teliti serta berjaga-jaga di masa akan datang.. Mohon maaf kepada semua, doakan yang terbaik untuk saya.
“Segala yang buruk datangnya daripada saya dan yang sempurna daripada Allah SWT. Saya minta maaf dan doakan saya terus kuat,” jelasnya.