Harap pengumuman PM fokus tiga komponen utama melibatkan struktur ATM – Menteri Pertahanan

Harap pengumuman PM fokus tiga komponen utama melibatkan struktur ATM – Menteri Pertahanan

JOHOR BAHRU – Kementerian Pertahanan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung proses kenaikan pangkat dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan diumumkan pada sambutan ambang merdeka 30 Ogos ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengumuman itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap peranan dan tanggungjawab ATM dalam menjaga pertahanan, keamanan dan keselamatan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar beri bayangan berita baik buat ATM, PDRM pada sambutan ambang merdeka

Bagaimanapun, pihaknya berharap keputusan itu nanti akan meliputi perkara-perkara yang pernah dikemukakan pada tahun 2022 dan 2025.

“Tiga komponen utama yang kita telah kemukakan melibatkan struktur dan organisasi ATM, dimana kita mahu supaya perjawatan dan juga laluan kerjaya menyokong keperluan Angkatan Masa Hadapan dan ini sangat penting kerana ramai pegawai telah menepati syarat kompetensi dan prestasi namun perkembangan kerjaya masih dipengaruhi kekosongan jawatan.

“Kita juga minta penambahbaikan gred dan kemajuan kerjaya kerana mahu memastikan terdapat kesepadanan munasabah melibatkan aspek-aspek utama seperti pangkat dan gred selaras dengan tanggungjawab yang dipikul warga ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas berucap pada Majlis Kesyukuran Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang di Puncak Kasih Bukit Layang-Layang disini pada Sabtu.

Aspek ketiga yang dikemukakan adalah elaun dan kemudahan yang mana kerajaan perlu memahami serta mengambil kira profesion ketenteraan seperti juruterbang yang memiliki pelbagai tuntutan.

Mohamed Khalid memberitahu, bagaimanapun kenaikan pangkat pegawai-pegawai ATM bukan automatik tetapi berdasarkan prestasi.

“Paling penting kenaikan pangkat ini bukan bersifat automatik tetapi prestasi atau merit yang mana melihat kepada kompetensi, integriti dan keperluan organisasi melalui pertimbangan yang diputuskan.

Justeru, pihaknya mengharapkan pengumuman itu nanti memberikan manfaat kepada ATM memandangkan aset dan teknologi pertahanan berubah pantas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat memberi bayangan bakal ada pengumuman melegakan buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk aspek kebajikan serta proses kenaikan pangkat pegawai pada sambutan ambang merdeka 30 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan pada prinsipnya bersetuju untuk mempermudah serta mempercepatkan proses kenaikan pangkat khususnya membabitkan pegawai ATM dan PDRM supaya hampir selari dengan perkhidmatan awam lain.

Scroll to Top