Pandelela-Mun Yee terlepas pingat kejohanan terjun dunia

Pandelela-Mun Yee terlepas pingat kejohanan terjun dunia

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Gandingan penerjun sensasi negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee sekadar meraih tempat keempat dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada aksi final Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, sebentar tadi.

Pasangan negara itu bermula baik apabila mendahului dalam tiga terjunan pertama namun dipintas pada dua terjunan terakhir untuk sekadar menamatkan saingan ditempat keempat dengan 288.36 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi gandingan Kanada, Caeli McKay-Meaghan Benfeito yang mengumpul 305.94 mata manakala Lois Toulson-Eden Cheng dari Britain meraih perak dengan 302.88 mata.

Gangsa menjadi milik gandingan penerjun Jerman, Tina Punzel-Christina Wassen yang mengumpul 292.86 mata.

Biarpun gagal meraih pingat namun ia tidak memberi kesan buat Pandelela-Mun Yee yang sudah pun layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai ini dalam acara itu selepas meraih perak pada Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan pada Julai 2019.

Pandelela mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan hari ini apabila bakal beraksi dalam acara 10m platform individu wanita, Selasa ini. Dia yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Tokyo dalam acara berkenaan, meraih gangsa pada edisi 2018 di Wuhan, China.

Benfeito dan McKay yang kedua-duanya pemenang pingat Olimpik dijangka menjadi pencabar utama buat atlet berasal dari Sarawak dalam acara 10m platform individu wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top