Tragedi Huascaran: Pendaki Jepun maut akibat hipotermia

Tragedi Huascaran: Pendaki Jepun maut akibat hipotermia

Lima: Seorang pendaki warga Jepun maut, manakala rakannya berjaya diselamatkan ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi Peru, Gunung Huascaran.

Mangsa, Chiaki Inada, 40, dan Saki Terada, 36, dilaporkan terperangkap di gunung itu sejak Isnin lalu, akibat kabus tebal dan cuaca buruk ketika berada di ketinggian lebih 6,400 meter dari paras laut.

Menurut pihak berkuasa, pasukan penyelamat berjaya mengesan lokasi mereka hasil isyarat Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) daripada peranti yang dibawa, namun Inada sudah meninggal dunia dipercayai akibat hipotermia.

“Kami berjaya menyelamatkan seorang lagi warga Jepun yang masih hidup dan memberikan rawatan perubatan segera.

“Mayat seorang lagi mangsa akan dibawa turun esok,” kata Ketua Polis Wilayah Ancash, Jeneral Antonio Loreno kepada TV Peru.

Difahamkan, kedua-dua pendaki itu tiba dari Jepun, dua minggu lalu, dan mendaki tanpa khidmat pemandu.

Gunung Huascaran setinggi lebih 6,700 meter di kawasan pergunungan Cordillera Blanca memang terkenal sebagai destinasi idaman pendaki dari seluruh dunia.

Ahad lalu, mayat tiga pendaki yang hilang lebih 20 hari di kawasan sama turut ditemukan, dipercayai ditimbus runtuhan salji.

Pada Julai tahun lalu, mayat pendaki Amerika Syarikat (AS), William Stampfl yang hilang sejak 2002 akibat runtuhan salji ketika mendaki Gunung Huascaran turut ditemukan dalam keadaan terawet seperti mumia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top