27 Jun 2025 10:38pm
Masa membaca: 4 minit

Iran tangguh pembukaan penuh ruang udaranya hingga Sabtu demi keselamatan susulan konflik 12 hari dengan Israel. Foto AFP
TEHERAN – Iran menangguhkan pembukaan semula sepenuhnya ruang udaranya sehingga petang Sabtu, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi IRNA.
Keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan penumpang serta penerbangan susulan pembukaan semula ruang udara timur negara itu untuk penerbangan domestik dan antarabangsa, kata jurucakap Kementerian Jalan dan Pembangunan Bandar Iran, Majid Akhavan seperti dilaporkan IRNA.
Beliau berkata, ruang udara di bahagian utara, selatan dan barat negara itu akan kekal ditutup sehingga 2 petang waktu tempatan Sabtu (1030 GMT).
Kementerian itu telah mengumumkan pada Rabu malam pembukaan semula ruang udara di timur negara itu sebagai langkah untuk memulihkan semula trafik udara secara berperingkat ke tahap sebelum konflik.
Iran menutup ruang udaranya pada 13 Jun susulan serangan udara Israel ke atas Tehran dan kawasan lain. Selepas konflik udara selama 12 hari, satu gencatan senjata antara kedua-dua pihak telah dicapai pada Selasa. – Bernama-Xinhua



