am@hmetro.com.my
Besut: Menyangka air sungai cetek dan cuba menyeberang untuk mengambil mata kail tersangkut dipercayai punca remaja lelaki hilang dibawa arus, sebelum ditemukan lemas, malam tadi.
Mayat Muhammad Amin Asyraf Zulkifli, 16, ditemui pada 9.09 malam selepas tiga jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pihak berkuasa di sungai Kampung Amer di sini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II, Baharum Muhamad Hasim berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan bersama abang serta rakan memancing di kawasan itu.
“Pada awalnya mereka hanya berada di kawasan tebing namun ketika mata kail milik mangsa tersangkut di dalam sungai, menyebabkan dia berenang untuk mengambilnya tetapi tenggelam ke dasar.
“Mangsa ditemukan pada jarak 14 meter dari tebing di kedalaman lapan meter selepas tiga jam SAR yang disertai 41 anggota bomba, polis serta orang awam.
“Operasi ini ditamatkan pada 10 malam dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu bapa mangsa, Zulkifli Latif berkata, anaknya sudah biasa memancing di kawasan berkenaan sebelum ini.
Namun katanya, kerana mahu mengambil mata kail tersangkut, Muhammad Amin Asyraf memberanikan diri dengan menyeberangi sungai kerana menyangka air tidak terlalu dalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



