'UMNO kalah bukan sebab musuh kuat, tapi cah keting sesama sendiri' – Asyraf Wajdi

'UMNO kalah bukan sebab musuh kuat, tapi cah keting sesama sendiri' – Asyraf Wajdi

nfazlina@nstp.com.my

Pasir Mas: UMNO di semua peringkat diingatkan bersatu dan tidak bergaduh sesama sendiri bagi memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana kekalahan UMNO selama ini bukan disebabkan musuh kuat, sebaliknya berlaku ‘cah keting’ sesama sendiri.

“Justeru, sebagai persiapan berdepan PRU16 yang mungkin berbaki dua tahun lagi, cukup-cukuplah kita bergaduh sesama sendiri.

“Jentera parti perlu bersatu dan kuat. UMNO perlu perkukuhkan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO selama ini kalah bukan sebab musuh kuat, tetapi disebabkan berlaku cah keting sesama kita, itu yang kita tidak mahu untuk akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di sini, hari ini.

Sementara itu, pada sidang media, Asyraf berkata walaupun ada pihak yang mahu UMNO meninggalkan parti dalam Kerajaan Perpaduan dan bertanding secara solo pada PRU16 nanti.

“Namun perlu diingatkan dalam sejarah UMNO kita tidak pernah bersendirian berdepan Pilihan Raya Umum (PRU). Untuk memastikan negara kita stabil dan makmur, kita tidak boleh berseorangan.

“Sehingga kini peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan Barisan Nasional (BN) akan kekal dalam konteks Kerajaan Perpaduan pada PRU16 nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top