syafil.syazwan@hmetro.com.my
NAMA Nur Fazura tidak pernah sunyi dalam radar industri hiburan tanah air. Biarpun sibuk sebagai pelakon, usahawan dan ibu, dia tidak pernah meninggalkan cintanya terhadap muzik.
Terbaharu, figura ini muncul dengan sebuah lagi karya berjudul Luar Biasa, hasil kerjasama dengan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda.
Lagu membawa mesej mengenai kekuatan untuk bangkit selepas jatuh itu bukan saja berjiwa besar, malah menyaksikan sisi Fazura yang lebih matang dan dekat dengan realiti kehidupan.
“Saya dan Ade berbincang mengenai lagu baharu ini. Lagu-lagu saya sebelum ini pun banyak bersifat memberi semangat, jadi saya nyatakan kepada mereka saya mahukan lagu yang bersemangat juga kali ini,” katanya.
Menurut Fazura, lagu Luar Biasa hadir tepat pada waktunya, saat ramai sedang bergelut dengan tekanan hidup dan cabaran peribadi.
“Mungkin saya dan ramai lagi di luar sana sedang lalui situasi mencabar dalam hidup. Lagu ini berkisarkan bagaimana seseorang itu boleh jatuh, lalu bangkit semula,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai proses penciptaan lagu, Fazura menyifatkan pengalaman bekerja dengan Ade sebagai sesuatu yang cukup menyenangkan.
“Hanya satu sesi panggilan video diperlukan untuk kami berbincang mengenai hala tuju lagu ini.
“Semuanya berjalan dengan mudah, baik dari segi perbincangan mahupun rakaman. Ade seorang yang baik,
sopan santun dan sangat memberi semangat,” katanya.
Apa yang lebih menarik, ini kali pertama Fazura tidak mengubah walau sepatah pun lirik diberikan. Katanya, setiap bait lirik terus meresap ke dalam hatinya dan tidak perlu diperhalusi lagi.
“Selalunya, saya ubah sedikit bahagian lirik yang saya rasa kurang kena. Alhamdulillah, Allah kurniakan lagu ini dengan begitu sempurna. Setiap bait liriknya menyentuh hati saya dan tidak perlu diubah langsung,” katanya.
Luar Biasa bukan sekadar lagu untuk carta radio atau pentas hiburan. Bagi Fazura, lagu ini adalah cerminan dirinya dan juga suara ramai insan yang sedang mencari kekuatan dalam diam.
“Lagu ini sesuatu yang ingin saya persembahkan, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk sesiapa yang mahu meluahkan perasaan mereka. Terutama buat mereka yang pernah jatuh dan kini cuba bangkit semula,” katanya.
Lebih mengharukan, video muzik lagu ini menyelitkan elemen hubungan antara anak dan bapa, secara kebetulan bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Allahyarham bapa Fazura yang jatuh pada bulan Jun lalu, serentak dengan sambutan Hari Bapa.
“Walaupun lagu ini tidak secara langsung mengenai saya, tetapi ada sedikit unsur hubungan antara anak perempuan dengan ayahnya, betapa dia memerlukan ayah dan betapa ayah juga memerlukan anak,” katanya.
Sementara itu, Ade Govinda menyifatkan kerjasama ini sebagai antara projek paling bermakna dalam kerjayanya.
Menurutnya, cerita dibawa dalam Luar Biasa sangat tulus dan relevan kepada sesiapa yang pernah melalui kejatuhan hidup.
“Cerita yang ingin disampaikan sangat tulus mengenai seseorang yang pernah jatuh, tetapi perlu bangkit kembali. Lagu ini mungkin kedengaran ringkas, tetapi kisah seperti ini sangat dekat dengan ramai orang di luar sana,” katanya.
Ade turut berkongsi bahawa dia sendiri tidak asing dengan pengalaman pahit manis dalam hidup.
Justeru, lagu ini menjadi ruang untuk menyampaikan mesej bahawa harapan itu sentiasa ada, walau di hujung lorong gelap sekalipun.
“Setiap orang pasti ada pengalaman jatuh ke titik paling bawah. Tapi sebenarnya, dari tempat jatuh itulah seseorang boleh bangkit dan terbang lebih tinggi menikmati kehidupan yang berbeza dan melupakan masa lalu,” katanya.
Ade juga berharap lagu ini mampu menjadi pembuka semangat setiap pagi buat mereka yang mendengarnya dan menjadi penyuluh untuk terus melangkah ke depan.
“Saya harap lagu ini boleh didengar pada waktu pagi, ketika orang baru bangun tidur agar menjadi semangat untuk memulakan hari, keluar bekerja dan terus melangkah,” katanya.
Tambahnya, video muzik Luar Biasa turut membawa satu pesan yang lebih luas mengenai hubungan antara anak dan ayah yang sering kali dilupakan dalam kehidupan moden hari ini.
“Ramai lupa jasa seorang ayah. Jadi, video muzik ini mengingatkan kita bahawa setiap hubungan terutama antara anak dan ibu bapa sangat penting.
“Bila hubungan itu terjaga dan baik, ia akan melahirkan sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Lagu ciptaan Ade itu turut mendapat sentuhan lirik oleh Ade sendiri dan Veron Savanoah.
© New Straits Times Press (M) Bhd

