hafizithnin@mediaprima.com.my
Penataan berkonsepkan moden sememangnya menjadi tarikan ramai pemilik kediaman kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.
Sebenarnya bagi menyerlahkan kediaman berkonsepkan moden tidaklah begitu kompleks. Asalkan anda bijak untuk bermain rona, jenis perabot dan ruang.
Justeru, Dekotaman kali ini tampil berkongsi beberapa panduan yang mungkin boleh anda gunakan untuk mendekorasi kediaman berkonsepkan moden.
1. Rona
Kediaman berkonsepkan moden kebiasaannya menggunakan warna-warna bumi yang kelihatan lembut seperti putih, krim atau beige. Selain itu, boleh juga gunakan rona hijau, biru atau kelabu lembut yang mampu menjadi titik fokal di dalam sesebuah ruang.
Amat dititik beratkan dalam permainan warna ialah elakkan menggabungkan banyak rona. Sebaiknya hanya tiga warna sahaja yang mempunyai kesinambungan antara satu sama lain.
Penggunaan warna lembut sebagai tema utama di dalam konsep moden ini adalah untuk menonjolkan elemen-elemen yang anda inginkan seperti aksesori di dalam ruang.
2. Ruang
Konsep hiasan dalaman yang moden sebenarnya lebih banyak bermain dengan ruang dan tidak kompleks dengan pelbagai barangan.
Pastikan anda bijak menyusun atur perabot dan meletakkan aksesori di dalam ruang berkenaan supaya ia tidak kelihatan begitu sesak dengan pelbagai elemen.
Lebih ringkas ‘kandungan’ di dalam ruangan berkenaan sebenarnya lebih menarik. Selain itu, anda perlu bijak menyesuaikan jumlah perabot di dalam ruang dengan mengukur ruang itu terlebih dahulu.
Misalnya, di dalam ruang tamu yang kecil diketengahkan sofa yang terlalu besar menjadikan konsep moden itu tidak akan kelihatan. Ia perlu dalam keadaan ringkas.
3. Bentuk
Pemilihan bentuk perabot dan aksesori untuk konsep hiasan moden perlu dititik beratkan kerana ia mampu menonjolkan dan melengkapkan konsep berkenaan.
Di dalam konsep moden, hiasan dan perabot berbentuk segaris dan melengkung antara yang boleh dijadikan pilihan untuk menghidupkan konsep berkenaan.
Selain itu, pilihan perabot unik dan ringkas sebenarnya amat membantu menghidupkan konsep berkenaan. Sebaiknya jangan memilih perabot atau aksesori yang terlalu sarat dengan rekaan atau berkerawang.
4. Perabot yang praktikal
Di dalam konsep dekorasi moden, perabot yang digunakan biasanya mempunyai dwi fungsi atau lebih kerana ia boleh membantu anda memaksimakan penggunaan sesuatu barangan yang ada di dalam ruang berkenaan.
Misalnya, sofa yang bukan sahaja menjadi tempat duduk malah di bawahnya juga mempunyai ruang untuk menyimpan barangan lain. Penggunaan perabot yang praktikal amat membantu untuk menjadikan ruang lebih kemas dan boleh menyembunyikan barangan lain di sebalik keindahan perabot yang bersaiz besar.
5. Lampu
Pencahayaan amat penting bagi setiap konsep dekorasi kerana ia boleh menonjolkan konsep yang diinginkan si pemilik. Begitu juga dengan konsep kediaman moden, pemilihan lampu jingga lembut amat disarankan kerana mampu menonjolkan elemen ketenangan dan rasa mewah seperti berada di ruang hotel.
Selain itu, lampu gantung yang mempunyai rekaan moden juga membantu untuk menghidupkan konsep moden di dalam sesuatu ruang yang anda ingin tata hias.
© New Straits Times Press (M) Bhd