Pusat inovasi pacu teknologi rel, bandar pintar

Pusat inovasi pacu teknologi rel, bandar pintar

Kuala Lumpur: Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melancarkan dua pusat inovasi untuk memacu pembangunan teknologi tempatan dalam sektor rel dan bandar pintar.

Pelancaran Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) dan Pusat Pengalaman Bandar Pintar & Inovasi Generasi Akan Datang (SCENIC) itu diadakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan MIGHT ke-30.

MIGHT dalam kenyataan baru-baru ini berkata, program ITIC dibangunkan dengan kerjasama Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) dan Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) bagi menyokong penggunaan penyelesaian yang dihasilkan dalam negara.

“Program itu bertujuan memacu penggunaan penyelesaian teknologi tempatan dalam sektor rel dan bandar pintar sekali gus memperteguh kedudukan Malaysia dalam inovasi berteknologi tinggi,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, MARIC bekerjasama dengan Tech Store Malaysia untuk membangunkan Sistem Pemantauan Rel Pintar yang menggunakan data masa nyata dan analisis ramalan bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan dan operasi.

“Pemantauan masa nyata ke atas lokasi tren, kelajuan, pembilang gandar dan pengesanan beban berlebihan adalah ciri penting yang menyokong penyelenggaraan ramalan dan pencegahan untuk mengurangkan masa berhenti dan meningkatkan keselamatan,” kata MIGHT.

MIGHT berkata, pihaknya mengeluarkan Laporan Industri Rel Malaysia yang dibangunkan dengan input daripada pihak berkepentingan untuk menonjolkan teknologi baharu seperti pembuatan bahan tambahan, pemantauan jarak jauh, stesen pintar dan teknologi hijau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top