affan.rostam@bh.com.my
Kuala Lumpur: Azhar Sulaiman mengakui watak lelaki songsang atau ‘transgender’ dalam drama terbaharu lakonannya sangat mencabar sejak dirinya bergelar anak seni.
Azhar berkata, drama 15 episod arahan Bahri Uma yang masih menjalani penggambaran itu, bagaimanapun bukan bertujuan mempromosi golongan atau budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.
“Itu suatu cabaran baharu buat saya. Saya sudah baca skrip, tetapi ini bukanlah untuk menormalisasikan budaya LGBT atau transgender.
“Kita hendak paparkan permasalahan masyarakat yang ada pada hari ini. Saya sendiri berhati-hati dalam membawa watak itu, tidaklah seronok sangat hendak jadi ‘pondan’.
“Ini kerana, pada akhirnya ia perlu meninggalkan mesej kepada semua yang menonton,” katanya.
Berkongsi mengenai drama, Azhar yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun sebagai pelakon berkata, dia membawa watak bapa yang pada masa sama bekerja sebagai pelacur berusia 50-an di ibu kota.
“Kali ini, watak saya bawa adalah seorang ‘ayam tua’ atau pelacur lelaki yang bekerja di Chow Kit pada usia 50-an dan menghidap HIV.
“Watak itu mengalami konflik di mana anaknya, lakonan Adam Lee sukar menerima hakikat bahawa bapanya adalah seorang ‘pondan’ dan pelacur yang tinggal di Chow Kit,” katanya.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, persiapan dilakukan untuk menjayakan watak berkenaan berbeza dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Pada awal saya seronok apabila perlu pergi beli baju-baju perempuan. Jadi, ini satu perkara baharu buat saya. Saya juga berlakon di bawah pengarah Bahri.
“Bahri dan pasukan produksi sangat membantu untuk wujudkan watak itu. Kita bukan nak jual ‘pondan’, tapi nak tunjukkan sisi lakonan artistik,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram (IG), Azhar berkongsi foto menampakkan dirinya mengenakan pakaian persis wanita ketika menjalani penggambaran.
“Kalini Behar (panggilan Azhar) jadi ‘pondan’ dan teman lelaki saya Fezrul Khan,” tulis Azhar pada keterangan gambar itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd