Transformasi kritikal

Transformasi kritikal

lizamridzuan@hmetro.com.my

PEMBAHARUAN dalam sektor agromakanan perlu dipacu secara agresif, bermula dengan transformasi petani tradisional kepada petani moden.

Selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), Jabatan Pertanian (DOA) giat melaksana pelbagai pendekatan pemodenan pertanian dan pengenalan teknologi pintar.

Lima teras utama dasar ini menerusi pemodenan teknologi, pengukuhan akses pasaran, pembangunan modal insan, kemampanan sistem makanan dan pembentukan ekosistem perniagaan yang kondusif menjadi panduan hala tuju dalam memperkasa sektor terbabit.

Namun realiti di lapangan masih mencabar dengan statistik menunjukkan lebih 85 peratus petani agromakanan di Malaysia masih bergantung kepada mekanisasi kecil separa moden dengan nilai kurang RM10,000.

Golongan petani juga didominasi warga emas dengan 45.4 peratus berusia lebih 60 tahun manakala hanya 22.2 peratus berusia bawah 46 tahun.

Ketidakseimbangan ini mewujudkan jurang ketara dalam penerimaan teknologi dan celik digital.

Selain itu, kenaikan kos input seperti baja, racun perosak dan benih menambahkan lagi beban petani.

Justeru, pelbagai inisiatif diperkenal bagi membantu komuniti tani mengembangkan industri secara lestari.

Antaranya kerjasama pintar antara DOA dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam memperkenalkan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan analitik data besar (BDA) dalam sektor pertanian dan sehingga kini, 59 unit IoT dipasang di kebun usahawan tani di seluruh negara.

Program latihan pemasangan peranti pintar dan inisiatif seperti mySOILDOCTOR bersama FAO turut menyumbang kepada peningkatan literasi teknologi dalam kalangan petani. Inovasi lain seperti penggunaan aplikasi carta warna daun, portal e-pengembangan dan pembangunan model ‘farm’ untuk tanaman strategik seperti durian, kelapa, dan betik memperkukuh ekosistem digital pertanian negara.

Tambahan pula, DOA memperkenal latihan bersama penyedia teknologi berkaitan penggunaan dron untuk pemetaan tanaman dan semburan input secara automatik.

Langkah berkenaan bukan sahaja menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti, malah membantu petani memahami teknologi terkini serta mengurangkan risiko kerja manual di ladang.

Bagaimanapun, transformasi ini bukan hanya berkisar kepada teknologi semata-mata kerana ia juga menuntut perubahan sikap daripada mentaliti ‘laggard’ kepada ‘innovator.’

Perubahan ini menuntut pendekatan inklusif membabitkan kerajaan, swasta, penyelidik dan komuniti tani secara menyeluruh serta teknologi yang diperkenalkan perlu relevan, mudah difahami selain mampu dimiliki golongan sasaran.

Dalam konteks keterjaminan makanan negara, tahap sara diri (self-sufficiency level – SSL) adalah komponen penting yang menunjukkan keupayaan negara memenuhi keperluan makanan rakyat daripada sumber pengeluaran domestik dan DOA memberi fokus khusus kepada komoditi dengan SSL rendah yang perlu ditingkatkan pengeluarannya.

Berdasarkan data awalan 2024, komoditi seperti cili, kubis, halia, kelapa dan mangga dikenal pasti sebagai tanaman utamamempunyai self-sufficiency ratio (SSR) rendah dan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar serta projek pembangunan.

Dalam masa sama, tumpuan diberi kepada komoditi yang mempunyai SSR melebihi 100 peratus dan berpotensi untuk eksport atau sudah mendapat akses ke pasaran antarabangsa seperti durian, nangka, tembikai, rambutan, betik, pisang, manggis dan tomato.

Transformasi petani moden adalah satu kemestian dan bukan lagi pilihan selain hanya dengan memperkasa komuniti petani melalui sokongan teknologi, latihan berterusan dan kolaborasi strategik antara semua pemegang taruh, ia dapat menjamin keterjaminan makanan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top