suliati@hmetro.com.my
Tidak kira apa juga bentuk cuaca, mereka tetap setia menunggang motosikal dengan satu tujuan iaitu memastikan makanan sampai ke tangan pelanggan tepat pada waktunya.
Mereka bukan sekadar penghantar makanan atau ‘rider’ tetapi wira ‘senyap’ yang menjadi tulang belakang industri penghantaran moden yang semakin berkembang.
Bagi menghargai komitmen dan dedikasi mereka, McDonald’s Malaysia meraikan lebih 70,000 rider di seluruh negara menerusi kempen #MekdiBelanjaRider yang memasuki edisi keempat sejak dilancarkan pada 2021.
Inisiatif yang berlangsung serentak di lebih 370 restoran McDonald’s Malaysia ini menyaksikan rider menerima set hidangan percuma sama ada McDonald’s Foldover atau burger Spicy McCrispy.
Menariknya, kempen ini tidak hanya terhad kepada rider McDelivery saja, tetapi ia turut dibuka kepada penghantar makanan daripada rakan rasmi seperti GrabFood, ShopeeFood, foodpanda dan mana-mana platform penghantaran lain di seluruh negara.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak, McDonald’s Malaysia, Hajjah Melati Abdul Hai berkata, program ini antara inisiatif diambil McDonald’s Malaysia untuk memberi kembali kepada penghantar makanan sebagai menghargai jasa mereka bukan sahaja kepada McDonald’s atau pelanggan, tetapi kepada komuniti secara keseluruhan.
“Sebagai pelanggan kita selalu bertanya mana makanan dipesan kepada penghantar makanan. Tetapi jarang kita bertanya adalah mereka sudah makan atau minum sepanjang perjalanan menghantar pesanan kita.
“Oleh itu, sebagai syarikat berteraskan komuniti, McDonald’s Malaysia sangat menghargai peranan rider sebagai penghubung penting antara restoran dan pelanggan.
“Jasa dan sumbangan mereka ini terhadap masyarakat Malaysia sangat bermakna. Kerana mereka juga kita dapat menikmati hidangan Mekdi pada bila-bila masa dan di mana sahaja,”katanya.
Mengulas lanjut mengenai program ini, Melati berkata #MekdiBelanjaRider adalah program untuk menghargai jasa dan pengorbanan penghantar makanan.
Program ini diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 pada 2021 dan pada masa itu, penghantar adalah antara barisan hadapan yang terus berkhidmat demi kemudahan orang ramai.
Melati berkata kini mereka ini memainkan peranan dalam menyantuni komuniti.
“Di McDonald’s Malaysia, kami sangat sayang dengan komuniti dan melalui komuniti kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghargai wira dan wirawati (penghantar makanan) yang bekerja penuh ikhlas, mencari rezeki yang berkat, demi membawa kegembiraan kepada kita sebagai pelanggan.
“Ini peluang kita kukuhkan semangat kebersamaan dan tunjukkan rasa prihatin antara satu sama lain.
“Di McDonald’s Malaysia, kami komited untuk terus menyumbang semula kepada komuniti, tidak kira sesiapa pun, sama ada golongan memerlukan atau yang sudah banyak berjasa kepada masyarakat.
#MekdiBelanjaRider juga antara program berterusan dalam rangkaian aktiviti kemasyarakatan McDonald’s Malaysia yang bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan serta menzahirkan keprihatinan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Bermula dengan penghargaan kepada guru pada bulan Mei lalu, kempen ini diteruskan pada bulan Jun dengan tumpuan kepada komuniti rider yang membantu memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan McDonald’s kegemaran mereka pada bila-bila masa dan di mana jua.
Inisiatif ini juga melengkapi Program Komuniti @ McDonald’s yang berlandaskan semangat menyumbang kepada kebajikan masyarakat.
Setiap tahun, McDonald’s Malaysia melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan melalui lebih 370 restorannya di seluruh negara.
Antara program yang sudah dijalankan termasuk menyantuni komuniti masjid dan surau semasa bulan Ramadan, meraikan guru-guru sempena Hari Guru, serta menyambut ulang tahun anak-anak yatim di rumah kebajikan.
Penghantar foodpanda, Khairul Jefri Abi Hurairah, 45, berkata, pemberian sumbangan menerusi #MekdiBelanjaRider ini membuatkan mereka rasa sangat dihargai.
“Kami ini ibarat wira tidak didendang sejak pandemik Covid-19.
“Oleh itu, kami berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia kerana menghargai kami dan beri peluang untuk nikmati hidangan istimewa ini,”katanya.
Penghantar ShopeeFood, Muhammad Fatthurrahman Mohd Yazli, 25, terkejut dan merasa dihargai apabila McDonald’s Malaysia memberikan sumbangan makanan kepada 70,000 penghantar di seluruh negara.
“Bagi saya, program ini sangat bagus kerana tidak semua vendor boleh beri sumbangan kepada penghantar makanan seperti ini.
“Saya berharap McDonald’s Malaysia dapat meneruskan program ini di masa akan datang,” katanya yang turut memuji kakitangan McDonald’s Malaysia sangat cekap menyiapkan pesanan, sekali gus memudahkan kerja mereka.
Penghantar McDelivery, Kiptiani Mohammad, 36, bersyukur kerana berpeluang menikmati hidangan istimewa dari McDonald’s Malaysia.
“Walaupun tahu program ini sudah dilaksanakan sejak empat tahun lalu, tapi ini kali pertama buat saya.
“Bagi saya, program ini cukup bermakna buat kami penghantar makanan kerana ia dapat mengurangkan kos belanja hariannya.
“Biasanya, kos makan tengah hari RM20, tapi dengan adanya sumbangan dari McDonald’s Malaysia ini, kami dapat jimat sedikit,” katanya.
Sementara itu, penghantar ShopeeFood Mohd Faizal Mohd Saleh, 24, sangat berterima kasih dan berharap program ini diteruskan di masa akan datang.
“Walaupun ia hanya sumbangan makanan namun ia cukup bermakna buat kami sebagai penghantar makanan dan sedikit sebanyak memberikan semangat kepada komuniti rider untuk memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd