Festival muzik Panggung Purnama bakal membuka lembaran sulungnya dengan kehadiran penyanyi prolifik dari Indonesia, Bilal Indrajaya, yang diumumkan sebagai pengisi utama bagi fasa pertama ‘Main Kasar’ menjelang konsert yang dijadual berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Pemilihan Bilal Indrajaya adalah berdasarkan nama yang tidak asing lagi buat pencinta muzik alternatif dan pop-retro Nusantara.
Ini kerana, figura muzik itu dianggap tepat dan simbolik sebagai ‘peluru perdana’ dalam festival yang menjanjikan keintiman, emosi dan karya seni yang mendalam.
Sejak kemunculan lagu debutnya ‘Biar’ pada 2018, Bilal telah membina nama sebagai sosok pemuzik yang menyentuh jiwa ramai.
Penampilannya dalam pelbagai festival ternama termasuk BNI Java Jazz Festival 2024 memperkukuh lagi reputasi dan daya tarikan uniknya.
“Kami percaya kepada kekuatan karya dan persona Bilal, dia adalah figura yang membawa cahaya tenang, namun mendalam, seperti bulan yang menyinari malam.
“Kolaborasinya bersama artis tempatan seperti Noh Salleh (dalam lagu Niscaya) dan Romantic Echoes (Ruang Kecil, Yang Tercinta) membuktikan Bilal sangat dekat di hati peminat Malaysia,” kata John Labu mewakili penganjur UdaraLaskhar.
Penganjur turut memaklumkan antara barisan artis untuk fasa kedua dan final akan diumumkan dalam masa terdekat.
Oleh itu, peminat disaran mengikuti perkembangan terkini di laman media sosial rasmi Panggung Purnama.
“Bilal hanya permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.
“Kami sedang merancang satu susunan penghibur yang mampu mencipta pengalaman festival yang tidak dapat dilupakan,” tambahnya.
Namun, bagi Bilal pula, persembahan ini merupakan detik istimewa dan satu pertemuan yang dinanti-nantikan bersama peminat di Malaysia.
“Saya anggap ini seperti mini festival peribadi.
“Ini juga adalah peluang untuk menyatu semula dengan para pendengar yang telah menemani saya sejak awal perjalanan,” jelasnya.
Oleh itu, peminat boleh mendapatkan tiket menerusi www.ilassotickets.com dengan kategori seperti berikut:
- Bintang – RM179
- Langit – RM199
- Bumi – RM239
- Awan – RM249
- Purnama – RM399