Miami: Harry Kane menjaringkan dua gol ketika Bayern Munich menewaskan Flamengo 4-2 dalam perlawanan tegang di Stadium Hard Rock, awal pagi tadi sekali gus menempah pertembungan suku akhir menarik sesama pasukan Eropah dengan Paris St Germain di Piala Dunia Kelab.
Gol sendiri oleh Erick Pulgar membuka tirai jaringan untuk Bayern, manakala Leon Goretzka turut menemui sasaran untuk pasukan Jerman itu manakala Flamengo yang dilihat rapuh dari segi pertahanan, dua kali merapatkan jurang menerusi jaringan Gerson dan Jorginho.
Mendapat sorakan hebat penyokong, Flamengo bermain dengan agresif tetapi Bayern memanfaatkan setiap percubaan mereka ke arah gol dan memperoleh ganjaran hasil permulaan pantas dengan menjaringkan dua gol dalam 10 minit pertama.
“Ia satu perlawanan yang sukar. Kami bermain menentang pasukan sangat bagus dalam keadaan cuaca mencabar, memang sangat panas,” kata Kane.
“Saya rasa kami bermain dengan baik untuk tempoh yang panjang, tetapi setiap kali kami berjaya menjauhkan diri, mereka kembali merapatkan jurang dan menyukarkan kami. Gol keempat itu penting untuk meredakan ketegangan, dan dari situ kami berjaya mengawal permainan dengan baik.”
Terdahulu dalam perlawanan awal, juara Liga Juara-Juara, PSG memberikan amaran tentang kekuatan serangan mereka apabila menewaskan Inter Miami 4-0, dan mengurangkan tekanan selepas separuh masa dalam perlawanan yang hampir menjadi aib buat pasukan MLS Lionel Messi.
Bayern memulakan permainan dengan cemerlang apabila di depan pada minit keenam hasil gol sendiri Pulgar yang menolak sepakan sudut ke gawang sendiri.
Tiga minit kemudian, Kane menggandakan kedudukan dengan satu rembatan rendah yang terkena tiang sebelum masuk ke gawang.
Flamengo mula mendapat rentak dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-15, tetapi Manuel Neuer menyelamatkan percubaan jarak dekat Luiz Araujo.
Namun, pasukan Brazil itu merapatkan jurang apabila Gerson melepaskan rembatan kencang yang terkena bahagian bawah palang dan masuk ke gawang, disambut dengan sorakan gemuruh daripada penonton.
Namun, Bayern kembali mendahului dengan dua gol sebelum rehat apabila Goretzka, memanfaatkan ruang ditinggalkan pertahanan Flamengo, melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Agustin Rossi.
Ketegangan memuncak selepas terjahan keras oleh Pulgar terhadap Kane ketika Flamengo bergelut menahan rasa kecewa mereka.
Pasukan kendalian Filipe Luis itu merapatkan jurang sekali lagi 10 minit selepas separuh masa kedua bermula, apabila Jorginho menyempurnakan sepakan penalti yang memperdayakan Neuer, susulan insiden bola terkena tangan Michael Olise.
Momentum kemudian memihak kepada Flamengo yang mula memberi ancaman dengan serangan balas pantas, tetapi Bayern tetap kukuh bertahan sebelum Kane sekali lagi menjaringkan gol dengan rembatan rendah yang tepat pada minit ke-73, menewaskan Rossi.
© New Straits Times Press (M) Bhd