PETALING JAYA: Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Jalinan Siswa: Technology for Community (TechCom) di Masjid Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 21 Jun lalu.
Program itu melibatkan 35 mahasiswa UPM yang terdiri daripada Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan bersama Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej Sesi 2024/2025, Kolej Tun Dr. Ismail UPM.
Program berkenaan bertujuan menyumbang khidmat kepada komuniti setempat melalui penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti teknologi dan kerjasama komuniti.
“Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian Microsoft dan penjanaan laman web bersama pelajar daripada SMK Kampung Baru Si Rusa dan SMK Bukit Saujana.

“Sesi perkongsian aplikasi Microsoft telah disampaikan oleh Muhammad Asyraf Ashaari dan slot Penjanaan laman sesawang disampaikan oleh Muhammad Safuan Shaharum,” kata Pengetua KTDI, Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid.
Katanya, program itu juga dapat memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan masyarakat melalui aktiviti pertukaran ilmu, selain memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama berpasukan dan kepimpinan dalam konteks sebenar.
“Selain itu, turut diadakan aktiviti gotong-royong di kawasan persekitaran masjid bersama komuniti tempatan. Aktiviti ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan pelajar yang terlibat dengan komuniti Kampung Baru Si Rusa tetapi dapat meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

“Interaksi pelajar dengan komuniti juga memberi pengalaman kepada pelajar dalam pengurusan dan perancangan program dalam skala besar dan di luar konteks mahasiswa semata-mata.
“Program ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran di luar bilik kuliah, malah turut memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran serta cakna masyarakat. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi melahirkan generasi mahasiswa yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial,” tambah Dr. Mohd Hafiz.
Majlis perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd Najib Mohd Isa.-UTUSAN