am@hmetro.com.my
Kemaman: Hajat dua penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk pulang bercuti hujung minggu ke Kuala Lumpur, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut apabila motosikal ditunggang terbabas di susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, hari ini.
Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Siti Ain Balqis Hamdan, 23, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemboncengnya Nur Intan Syafiera Batrisya Hamzah, 22, parah.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y16zr dipercayai terbabas sendiri.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan.
Katanya, Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang Siti Ain Balqis hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.
“Mangsa tercampak ke sebelah kiri manakala Nur Intan Syafiera Batrisya terjatuh di atas jalan.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, pembonceng yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, mangsa yang maut berasal dari Kampung Puah Lembah Jalan Sungai Batu Batu 3 ¾, Gombak, Kuala Lumpur, manakala rakannya dari Kampung Mantin Dalam, Negeri Sembilan.
Sementara itu, UMT dalam satu kenyataan berkata, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UMT akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 bagi khairat kematian, RM1,500 untuk pengurusan jenazah (van jenazah dan mandi jenazah) serta bantuan RM10,000 melalui Skim Perlindungan Pelajar kepada waris pelajar yang meninggal dunia.
Bagi pelajar yang mengalami kecederaan pula, pihak HEPA menyalurkan Bantuan Bingkas Kasih RM500, kos rawatan pelajar pula akan dibiayai melalui surat jaminan hospital UMT sebanyak RM2,500.
© New Straits Times Press (M) Bhd




