MELAKA: PKR tidak boleh berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku terhadap parti itu susulan beberapa perkembangan politik yang memberi kesan kepada perjuangan parti berkenaan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, PKR kini berada dalam keadaan yang tidak mudah selepas melalui beberapa pilihan raya yang menguji kekuatan parti, selain kehilangan beberapa kawasan yang selama ini menjadi sandaran perjuangan termasuk negeri yang pernah diterajui.
“Beberapa pilihan raya menguji kekuatan kita. Kita kehilangan beberapa medan yang selama ini menjadi sandaran perjuangan, termasuk negeri yang pernah kita terajui. Kita juga melalui perubahan dalam hubungan politik yang tidak semuanya mudah untuk kita terima.
“Ada rakan dalam perjalanan yang pada satu ketika kita memilih yang pada satu ketika bersama dengan kita, ada kala memilih haluan yang sukar kita percayai. Boleh berlaku hal tersebut. Ibarat tidur sebantal, mimpi lain-lain.
“Ia meninggalkan kesan yang bukan sedikit di hati sanubari kita. Tindakan yang buat kita rasa terhiris dan terluka. Namun, kongres ini bukan tempat untuk kita menuding jari, mencari siapa yang salah, atau membalas apa yang telah berlaku. Sebaliknya, kita perlu cukup matang untuk membaca realiti, cukup jujur untuk mengaku kelemahan, dan cukup berani untuk belajar daripada pengalaman.
“Walaupun demikian, kita tidak boleh berpura-pura bahwa tiada apa yang berlaku. Kita mesti mengakui bahawa kita pernah kecewa, pernah sedih, pernah terluka, tapi kita tak boleh biarkan luka menentukan masa depan kita. Luka bukan pengakhiran, dan kekalahan bukan penamat kepada perjuangan. Sejarah parti kita sendiri telah membuktikan bahawa setiap kali kita diuji, kita sentiasa mempunyai pilihan untuk bangkit, memperbaiki diri, dan membina semula kekuatan,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2026 di sini hari ini.
Fuziah berkata, PKR juga perlu melihat sejarah parti itu sendiri sebagai sumber kekuatan untuk bangkit daripada keadaan sukar yang sedang dihadapi.
Beliau mengimbas Pilihan Raya Umum 2004 ketika PKR hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Permatang Pauh, berbanding lima kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRU 1999.
Kata beliau, walaupun melalui tempoh sukar, termasuk kehilangan anggota dan keyakinan sebahagian penyokong, PKR tidak menyerah atau membubarkan parti, sebaliknya terus memperkukuh organisasi dan mendekati rakyat.
“Kita mungkin pernah jatuh, tapi kita tidak pernah memilih untuk menyerah. Dan sejarah itulah yang seharusnya menjadi sumber keyakinan kita hari ini, bahawa selagi kita punya keberanian untuk memperbaiki diri dan kesetiaan kepada perjuangan Keadilan, Keadilan akan terus mempunyai jalan untuk bangkit,” katanya. –UTUSAN

