Dua gandingan muda negara berentap di final beregu campuran

Dua gandingan muda negara berentap di final beregu campuran
Datu Anif-Dania Sofea melangkah ke perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa Remaja Petronas Malaysia 2025 di Dewan Wawasan, Kangsar. FOTO: Perlis BA

Datu Anif-Dania Sofea melangkah ke perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa Remaja Petronas Malaysia 2025 di Dewan Wawasan, Kangsar. FOTO: Perlis BA

AKSI kemuncak acara beregu campuran dalam Cabaran Antarabangsa Remaja Petronas Malaysia 2025 bakal menyaksikan pertembungan sesama wakil negara, sekali gus menjanjikan persaingan sengit di pentas akhir di Dewan Wawasan, Kangar.

Dua pasangan utama negara, pilihan pertama Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi dan pilihan kedua Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan melangkah ke perlawanan akhir menerusi laluan berbeza, namun masing-masing menampilkan semangat juang tinggi demi mengibarkan panji negara di kejohanan bertaraf antarabangsa itu.

Datu Anif-Dania Sofea, kedua-duanya berusia 17 tahun yang mendominasi aksi awal kejohanan terpaksa mengerah keringat apabila berdepan tentangan sengit pasangan Hong Kong, Cheng Ying Kit-Hung Ho Yan dalam separuh akhir.

Selepas memenangi set pertama 21-15, pasangan negara itu gagal mengekang kebangkitan lawan yang menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-17 di set kedua.

Namun, sorakan penyokong tempatan nyata membakar semangat Datu Anif-Dania Sofea untuk menamatkan set penentuan dengan kemenangan meyakinkan 21-13 dalam tempoh 47 minit.

Sementara itu, Ziheng-Noraqilah pula mara ke final dengan lebih mudah apabila tidak berdepan masalah menundukkan rakan senegara, Irfan Mohd Shazmir-Nur Aina Maisarah Ramdan 21-11, 22-20 dalam masa 24 minit.

Pertemuan final kali ini juga bakal menjadi ulangan perlawanan akhir Kejohanan Bawah 18 Kebangsaan Petronas yang berlangsung awal tahun ini.

Ziheng-Noraqilah pasti mahu membuktikan bahawa kemenangan mereka sebelum ini bukan sekadar nasib.

Datu Anif-Dania Sofea pula tekad mempertahankan status mereka sebagai pasangan nombor satu negara dalam kategori beregu campuran remaja.

Scroll to Top