Keluang Man hadir dengan jiwa lebih gelap

puterialia@hmetro.com.my

Drama bersiri animasi, Keluang Man bakal menampilkan penceritaan yang berbeza berbanding versi filem apabila memfokuskan kepada perkembangan emosi dan keadaan psikologi watak utamanya, Borhan.

‘Showrunner’ yang juga penerbit dan ketua penulis siri berkenaan, Anwari Ashraf berkata, pendekatan itu diambil selari dengan perjalanan watak Borhan yang kini tidak lagi menjadi penghuni di Pusat Rawatan Mental Tampoi seperti di penghujung filem sebelum ini.

“Apa yang boleh dikongsikan mengenai drama bersiri ini adalah dari segi tonnya. Kita mengikuti perkembangan watak Borhan apabila di penghujung filem Keluang Man sebelum ini dia sudah tidak lagi menjadi penghuni di Pusat Rawatan Mental Tampoi.

“Sepanjang tempoh dua tahun dia tidak menerima rawatan, kita mendalami dan mengikut keadaan psikologinya. Ton drama bersiri ini akan kekal konsisten dengan watak berkenaan serta apa yang sedang dialaminya,” katanya.

Pendekatan ton lebih gelap yang ditampilkan dalam drama bersiri Keluang Man disifatkan sebagai penceritaan semula jadi mengikut garis masa perkembangan watak Borhan.

“Sebenarnya ia adalah ‘natural progression’ untuk watak ini. Disebabkan watak itu kini menyepi dan tidak mempunyai sebarang hubungan kemanusiaan, keadaan mentalnya sedikit merosot.

“Jadi, siri ini betul-betul akan mengikut keadaan mental watak. Tidak kisah apa jua cerita sekali pun, selalunya keadaan mental watak itu yang akan menjadi penentu kepada bentuk dan ton siri berkenaan,” katanya.

Meskipun drama bersiri Keluang Man bakal tampil lebih serius dan berpijak di alam nyata, ia tidak bermakna elemen humor yang menjadi identiti naskhah berkenaan diketepikan sepenuhnya.

Menurut Anwari, siri itu masih mengekalkan elemen komedi, namun pendekatan penceritaannya kini lebih menjurus ke arah realisme.

Proses menghasilkan drama bersiri Keluang Man menuntut ketahanan serta stamina yang tinggi berbanding pembikinan filem apabila ia membabitkan skrip yang panjang serta bilangan babak yang bertambah secara mendadak.

Elemen utama meletakkan Keluang Man dalam kelas tersendiri sebagai adiwira tempatan sebenar dan bukan sekadar naskhah tiruan, tetapi pada semangat daya tahan serta jiwa rakyat Malaysia yang ditampilkan.

Menurut Anwari, identiti Keluang Man bukan berteraskan penggunaan bahasa Melayu atau latar tempat tempatan yang difiksyenkan, sebaliknya mendalami semangat atau keupayaan untuk terus berjuang dengan apa sahaja kemudahan yang ada.

“Saya rasa Keluang Man ini sendiri jiwanya betul-betul jiwa Malaysia. Bukan sekadar sebab dia bercakap bahasa Melayu atau berlatarkan lokasi di Malaysia yang difiksyenkan, tetapi ia lebih kepada semangat yang ada.

“Keluang Man bukan seperti Iron Man atau Batman yang mana mereka mempunyai sumber dan wang ringgit yang melimpah-ruah.

“Kita sebagai orang Malaysia, kita bertahan dengan apa yang boleh dan kita buat sebaik mungkin dengan apa yang kita mampu,” kongsinya.

Dalam pada itu, Anwari menyifatkan pendekatan seni penceritaannya sentiasa berada di tengah sama ada mahu mengikut kehendak penonton dan mengikut gerak hati peribadinya.

Anwari berkata, setiap langkah atau keputusan karya yang dihasilkannya tidak dibuat semata-mata untuk menuruti kehendak pasaran.

“Saya tidak membuat setiap langkah itu semata-mata memikirkan nafsu penonton. Masih ada bahagian dalam diri saya yang mahu mengekalkan gerak hati saya sendiri.

“Sebenarnya saya betul-betul percaya bahawa sebagai penulis atau pengarah, ada perkara mengenai kita yang tidak terlalu istimewa.

“Contohnya, setiap skrip yang berjaya sebenarnya ditulis dan datang daripada tempat yang sangat peribadi. Disebabkan kita ini tidak begitu istimewa, sejauh mana sekalipun sifat peribadi penceritaan itu, ia tetap boleh ‘resonate’ dengan orang ramai.

“Populasi di Malaysia sahaja sekarang sudah menghampiri 40 juta orang. Mustahil untuk suara atau mesej yang kita bawa itu terlalu istimewa sehingga orang lain langsung tidak boleh kaitkan dalam kehidupan mereka. Saya rasa akan bermula dari sudut itu, kemudian baru saya fikirkan sama ada orang boleh terima atau tidak,” katanya lagi.

Keluang Man: The Series terbitan Astro Shaw arahan Zahir Omar dan Syahmi Norsan ini ditayangkan pada tahun hadapan.

Drama bersiri ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Nas-T, Shweta Sekhon, Harissa Adlynn dan Trisha Ooi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top