Atlanta: Paris Saint-Germain (PSG) yang beraksi dengan sembilan pemain menempah pertemuan separuh akhir Piala Dunia Kelab menentang bekas penyerang bintang mereka, Kylian Mbappe dan Real Madrid selepas menewaskan Bayern Munich 2-0, awal pagi tadi di Atlanta.
Real Madrid terlebih dahulu melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas Borussia Dortmund di New Jersey dalam satu lagi aksi suku akhir, dengan Mbappe akhirnya mencatat nama selaku penjaring buat kali pertama dalam kejohanan itu.
PSG kendalian Luis Enrique terpaksa beraksi bermati-matian di hadapan 67,000 penonton di Stadium Mercedes-Benz selepas dua layangan kad merah lewat permainan diberikan kepada Willian Pacho dan Lucas Hernandez.
Kelab Perancis itu sebelum ini menjuarai Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama dalam sejarah mereka pada Mei lalu, walaupun pemain utama mereka, Mbappe, berhijrah ke Real Madrid pada tahun lalu.
Penyerang muda, Desire Doue yang menyerlah dalam perjalanan PSG menjuarai trofi Eropah serta calon anugerah Ballon d’Or, Ousmane Dembele, masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua dalam perlawanan menarik menentang Bayern bimbingan Vincent Kompany, yang menyaksikan dua jaringan mereka dibatalkan kerana ofsaid.
Gergasi Jerman itu turut menerima tamparan hebat apabila perancang mereka, Jamal Musiala mengalami kecederaan buku lali yang teruk sebelum tamat babak pertama.
“Selepas kad merah pertama, permainan jadi sukar. Kemudian apabila tinggal sembilan pemain, ia seperti satu perjudian,” kata Luis Enrique yang jelas lega dengan kemenangan itu.
Penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma dan rakan sejawatannya dari Bayern, Manuel Neuer, masing-masing melakukan beberapa aksi menyelamat cemerlang dalam pertembungan yang sengit itu di venue berhawa dingin dan berbumbung, yang membolehkan kedua-dua pasukan mempamerkan gaya permainan berintensiti tinggi.
Pemain dan penonton dalam kedua-dua perlawanan turut bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan kepada penyerang Liverpool, Diogo Jota dan abangnya, Andre Silva yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



