Kuala Lumpur: Kumpulan wanita berbakat dari Kuala Lumpur, KLP48 bakal menyambut ulang tahun pertamanya dengan konsert istimewa berjudul BLOOM yang akan berlangsung pada 16 Ogos depan di Zepp Kuala Lumpur, di sini.
Konsert anjuran 48 Entertainment Sdn Bhd yang bermula jam 5.30 petang itu juga bakal menampilkan persembahan bertenaga serta tarian menarik daripada barisan ahli KLP48.
KLP48 yang ditubuhkan tahun lalu adalah salah satu legasi kepada kumpulan idola Jepun iaitu AKB48 yang sudah bertapak dalam industri muzik sejak 2005.
KLP48 adalah cawangan terbaru dalam pengembangan konsep unik ‘idola yang anda boleh temui’ yang diasaskan oleh penerbit tersohor, Yasushi Akimoto.
AKB48 yang diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia, kini memberi laluan kepada KLP48 untuk mewarisi dan meneruskan legasi itu dengan sentuhan unik berbilang budaya.
Menariknya mengenai penubuhan KLP48 ini, 13 penyanyi berbakat yang dipilih bukan saja kelahiran Malaysia, tetapi juga dari Jepun, Indonesia dan Hong Kong.
Tujuh daripadanya adalah dari Malaysia, empat dari Jepun serta masing-masing satu dari Indonesia dan Hong Kong.
Apa yang menarik, KLP48 turut menampilkan tiga perpindahan dari AKB48 dan satu perpindahan daripada kumpulan saudara perempuan STU48 yang berpangkalan di Jepun.
Sejak penubuhannya, KLP48 berjaya menarik perhatian bukan saja di Malaysia, malah turut mendapat sambutan di Jepun.
Ahli kumpulan ini dijemput untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa dan menyifatkan sokongan peminat dari seluruh dunia sebagai pencetus semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia hiburan.
Sementara itu, dalam persiapan menjelang konsert Ogos ini, KLP48 giat menjalani latihan intensif seperti vokal, koreografi serta perbincangan kreatif bagi memastikan persembahan terbaik untuk peminat.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga artis jemputan iaitu kumpulan pop wanita tempatan yang sedang meningkat naik, COËX, dikenali dengan lagu-lagu bertenaga dan tema kekuatan wanita yang mendapat sambutan hangat di platform penstriman tempatan.
Turut membuat penampilan ialah penyanyi solo popular, Ismail Izzani. Tidak ketinggalan, JKT48, kumpulan adik AKB48 dari Indonesia dan juga kumpulan luar negara pertama dalam keluarga 48 Group, turut hadir memeriahkan acara.
Berpusat di Jakarta, JKT48 adalah peneraju dalam memperkenalkan budaya idola Jepun ke Asia Tenggara dan terus kekal sebagai antara kumpulan idola paling berjaya di rantau ini.
Maklumat mengenai tiket, sila layari www.excitix.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




