sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Tuan rumah Selangor FC mengaibkan Pahang Rangers FC selepas menewaskan pelawat 7-2 pada pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 musim 2025 di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam, Selangor, semalam.
Rekod mengecewakan 5-6 pada pertemuan pertama sebelum ini seolah tidak menjejaskan semangat pemain Merah Kuning untuk bangkit melakar kejayaan paling manis ke atas lawan yang juga bekas juara berganda musim 2023.
Pemain Selangor, Khairul Effendy Bahrin muncul wira apabila melakukan hatrik pada minit ke-14, 17 dan 25.
Turut menyerlah Syahir Iqbal Khan Akbar Khan yang menyumbang dua gol (19 dan 29) dibantu Borges Evandro (3) dan Saiful Nizam Mohd Ali (26).
Dua gol Pahang Rangers dihasilkan awang import, Felipe De Souza pada minit ke-24 dan Matheus Moura (39).
Jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca berkata, pasukan Selangor beraksi dengan lebih baik dan mereka layak memenangi perlawanan semalam.
Peluang terhidang digunakan sepenuhnya barisan pemain mereka menghasilkan jaringan.
Katanya, nasib tidak menyebelahi pasukan Pahang Rangers apabila terpaksa menerima kekalahan yang begitu mengecewakan, terutama dalam usaha memburu kejayaan musim ini.
Menurutnya, pemain memberi persembahan yang diharapkan namun semuanya seolah tidak menjadi, sebaliknya lawan yang lebih menyerlah sepanjang perlawanan yang dilihat berat sebelah itu.
“Saya akur dengan kekalahan yang diterima semalam walaupun amat perit, kesungguhan dipamerkan pemain namun impian mencatat kemenangan ke atas lawan di gelanggang mereka tidak menjadi kenyataan.
“Kekalahan ke atas Selangor menutup rapat peluang Pahang Rangers untuk mengintai peluang menduduki tangga kedua liga, kita kini hanya mampu berpuas hati berada di tangga ketiga liga,” katanya, di sini hari ini.
Fonseca berkata, selepas ini tumpuan Pahang Rangers untuk memburu kejuaraan Piala Futsal Malaysia bagi mengubat kekecewaan gagal menyerlah pada saingan liga yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1 semalam.
Pahang Rangers akan menamatkan saingan liga musim ini dengan berhadapan Malaysia University FT, Sabtu depan di gelanggang lawan. Keputusan pertemuan terakhir itu tidak akan mengubah kedudukan liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




