sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dinasihatkan untuk tampil ke depan secara serius mendapatkan khidmat psikologi sekiranya mengalami masalah kemurungan.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Zii Jia antara atlet utama negara dan jika benar pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu sedang berdepan masalah atau sebaliknya, Team LZJ perlu segera mengeluarkan kenyataan rasmi.
Katanya, perkara itu dapat menangkis segala tanggapan negatif daripada pelbagai pihak mengenai maksud tersurat dan tersirat yang ingin disampaikan oleh pemain berkenaan.
“Sebagai atlet profesional, dia perlu bertindak selaras dengan statusnya, bukan sahaja di dalam gelanggang tetapi juga di luar, sama ada dari segi mindset mahupun pemikiran. Bila dia meluahkan, pasukan kepakaran atau psikologi dalam kalangan mereka perlu bertindak segera mengatasi masalah ini.
“Dia juga boleh mendapatkan khidmat daripada ISN (Institut Sukan Negara) atau menggunakan perkhidmatan profesional luar untuk mengatasi perkara ini dengan baik.
“Kita tidak mahu terlalu banyak persepsi wujud dan membiarkan peminat sendiri ataupun orang ramai tertanya-tanya sehinggakan isu ini sampai ke pengetahuan menteri (Menteri Belia dan Sukan). Kalau betul dia ada masalah dari segi emosi atau tekanan, dia perlu meluahkannya dan tidak perlu malu kerana sudah pasti setiap pihak akan tampil membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, isu yang membabitkan Zii Jia ketika ini juga perlu dipandang serius kerana beliau tidak mahu ia menjadi bahan gurauan semata-mata selepas semua pihak memberi reaksi yang sepatutnya.
“Kita tidak mahu perkara ini dianggap sebagai satu gurauan atau mainan, apatah lagi dilihat sebagai sesuatu yang melucukan sedangkan kita yang terlalu beria-ia. Kita juga tidak mahu menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi negatif, walaupun mungkin ada yang cuba menggambarkannya secara positif.
“Namun, akhirnya pihak satu lagi yang terbabit pula menafikan dengan alasan ‘itu bukan apa-apa, sekadar suka-suka’, dan ini hanya akan membuatkan kita kelihatan seolah-olah sedang dipermainkan, sedangkan dia sendiri tidak tampil secara profesional,” katanya.
Semalam, Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan mereka sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada Zii Jia sekiranya diperlukan, susulan satu hantaran di media sosial milik pemain itu baru-baru ini yang mengundang pelbagai spekulasi.
Terdahulu, pemain kelahiran Kedah itu menimbulkan kebimbangan sebahagian besar peminat sukan tanah air, khususnya badminton apabila memuat naik gambar ilustrasi hitam putih tanpa kapsyen di laman Instagram seolah-olah menggambarkan keadaan dirinya ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




