am@hmetro.m.my
Kuantan: Istana Pahang mengeluarkan amaran mengenai penyebaran video palsu janaaan kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan wajah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi tujuan menipu orang ramai.
Menerusi hantaran Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini, beberapa klip video palsu giat disebarkan melalui akaun TikTok ‘datuk_abdul_majid’, ‘datokfahrolaziz07″ dan ‘datuk_abdul_majid7’ kononnya berkenaan tawaran bantuan kepada rakyat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video itu serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan.
“Istana Pahang ingin menegaskan bahawa video terbabit adalah tidak benar dan tidak sahih. Ia penyalahgunaan imej Sultan Pahang bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang ramai,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Istana Pahang menegaskan baginda tidak memiliki sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti dan titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial rasmi Kesultanan Pahang.
Menurut kenyataan itu, hanya terdapat satu akaun Facebook sah iaitu ‘Kesultanan Pahang’ yang memiliki kira-kira 725,000 pengikut.
“Manakala di platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok, Youtube, Threads dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang, manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my.
“Lindungilah diri anda daripada penipuan siber. Hentikan penyebaran maklumat palsu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




