farid_noh@bh.com.my
Pontian: Seramai 18 lelaki tempatan ditahan polis susulan rusuhan yang berlaku di dewan sekolah di Pekan Nanas, di sini, malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima makluman orang awam berhubung pergaduhan di dewan itu pada 11.30 malam Jumaat dan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah bergegas ke lokasi.
Katanya, semua individu disyaki terbabit insiden ditahan dengan mereka berusia antara 17 hingga 48 tahun.
“Menerusi siasatan awal, insiden berkenaan dipercayai berlaku susulan ketidakpuasan hati terhadap barangan dalam acara lelongan yang berlangsung di dewan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sabit kesalahan pesalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya kes juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 43 saat yang memaparkan suasana kecoh termasuk sekumpulan individu yang dilihat melempar kerusi ke arah pentas dewan.
Mohammad Shofee berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah dan turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan video atau maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan insiden berkenaan diminta tampil dan memberi kerjasama bagi membantu siasatan lanjut. Maklumat boleh disalurkan terus ke Hotline IPD Pontian 07-6869999,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




