am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mendedahkan suspek warga Pakistan yang diburu dalam kes liwat dan amang seksual memperdaya kanak-kanak lelaki dengan berpura-pura meminta bantuan seperti mengambil barang, membantunya menempah perkhidmatan e-hailing atau bertanyakan sesuatu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 25 tahun itu dikesan mengekori pelajar sekolah dan kanak-kanak di sekitar Seksyen 27 dan 28 di sini, sebagai sasarannya sebelum melakukan jenayah seksual itu.
“Suspek memperdayakan mangsa dengan menyuruh mengambil barang di suatu tempat. Mangsa kemudian dipeluk dari belakang dan dicekik oleh lelaki berkenaan sekiranya melawan.
“Suspek juga akan meminta mangsa membantunya menempah perkhidmatan e-hailing atau bertanyakan sesuatu. Apabila mangsa leka, suspek akan menumbuk dan menarik mangsa bawa ke tempat yang dirasakan boleh melakukan perbuatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis percaya lelaki berusia 25 tahun itu masih berada dalam negara ini.
Semalam Harian Metro melaporkan, polis memburu Muhammad Hassan yang dipercayai terbabit dalam kejadian liwat yang membabitkan empat mangsa dan kejadian itu dilaporkan bermula April hingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




