mohamadridzuan@hmetro.com.my
TIADA istilah mengalah dalam kamus hidup pelakon, Farid Kamil. Meskipun filem terbaru lakonannya Telaga Suriram arahan Osman Ali gagal memikat hati penonton, Farid tetap rancak dengan kariernya.
Bintang yang mencipta nama menerusi filem Lagenda Budak Setan, Evolusi KL Drift dan pelbagai lagi filem hit akan tampil dengan filem seterusnya pada tahun ini.
“Pada bulan ini filem saya berjudul Munajjim: Sekutu Iblis yang diarahkan Faizul A Rashid. Ia juga menampilkan Uqasha Senrose, Mustaqim Bahadon, Sherie Merlis, Juliana Evans dan ramai lagi.
“Boleh dikatakan berturut-turut saya berlakon filem seram. Selain itu, saya berlakon filem seram berjudul Baran yang bakal menemui peminat tahun depan.
“Kalau tak silap saya, ia ditayangkan awal tahun depan. Filem arahan Joel Soh ini juga dihantar ke festival filem luar negara kerana layak menyertainya,” katanya.
Paling istimewa, filem ini pertama kali menggandingkan Farid bersama bekas isteri, Diana Danielle sebagai teraju utama.
Penggambaran dibuat awal tahun lalu di mana mereka masih bergelar suami isteri ketika itu dan pastinya filem ini ditunggu-tunggu ramai.
Farid, 44, turut bersyukur industri perfileman kembali rancak berkembang di mana penerbit aktif menghasilkan filem.
Namun pada masa sama, Farid melahirkan perasaan kecewa kerana berlaku lambakan filem yang menyaksikan lima hingga enam filem tempatan ditayangkan dalam satu bulan.
“Pihak bertanggungjawab iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perlu memikirkan secara holistik bagaimana menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Selesa diurus adik sendiri
Pertemuan dengan Farid baru-baru ini menyaksikan perubahan besar dirinya yang kini mudah didekati media.Farid yang kini bernaung di bawah pengurusan adiknya Fadzli Zahari iaitu Prokuya Studios berkata, dia mahu memastikan kariernya kini berjalan lancar.
“Sebelum ini saya bernaung di bawah syarikat MIG selama 10 tahun. Selepas tamat kontrak, saya tiada pengurusan kukuh dan hanya bergantung kepada seorang rakan iaitu Azhari sebagai pengurus.
“Dah sampai masanya saya tingkatkan taraf hidup saya. Jadi tawaran daripada Prokuya itu istimewa dan bertepatan dengan waktu sekarang.
“Sekarang jadual seni saya amat tersusun dengan adanya bantuan mereka. Tanpa berlengah saya setuju untuk berbakti pula kepada Prokuya dan melangkah ke dalam dunia seni ini dalam keadaan yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, walaupun adik-beradik, mereka tetap saling menghormati apabila membabitkan urusan kerja.
“Kita ada undang-undang. Kita ada jalan di mana kita buat kontrak dan gunakan ia sebagai pengikat tali perjanjian. Hal adik-beradik kita tolak tepi dulu.
“Bisnes tetap bisnes manakala urusan adik-beradik tetap adik-beradik. Kami akan buat yang terbaik dan pastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Bersama Prokuya Studios, Farid kini menjalinkan kerjasama dengan pengedar motosikal elektrik (EV) keluaran GGR Motor dan berpeluang membuka showroom EV sendiri selepas ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




