Tragedi Sungai Korok: Tak sangka kemalangan berlaku depan rumah saya – Penduduk

Tragedi Sungai Korok: Tak sangka kemalangan berlaku depan rumah saya – Penduduk

am@hmetro.com.my

Jitra: Penduduk Kampung Kemboja di sini mendakwa kemalangan kerap berlaku berhampiran Sungai Korok iaitu di sepanjang laluan serta lokasi enam beranak yang ditemukan lemas dalam kereta, hari ini.

Mohd Anas Fadli, 30, berkata, orang ramai yang melalui sepanjang kawasan Sungai Korok itu perlu berhati-hati ketika memandu terutama pada waktu malam atau awal pagi serta hujan.

Katanya, sepanjang menetap di situ, ini adalah kemalangan kedua yang berlaku yang menyebabkan kereta terjunam ke dalam sungai.

“Saya hanya tahu kehilangan enam beranak itu selepas dimaklumkan oleh rakan semalam kerana dia melihat hebahan keluarga mangsa mengenai kehilangan ahli keluarga tetapi saya tak tahu yang kereta kesemua mangsa itu jatuh depan rumah saya.

“Kali ini paling tragis kerana membabitkan enam nyawa dan lebih menyedihkan apabila tahu mereka adalah satu keluarga ditemukan lemas dalam kereta,” katanya di sini hari ini.

Mohd Anas turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berwaspada sekiranya menggunakan jalan itu yang terletak bersebelahan sungai yang dalam serta lebar.

Katanya, jalan di situ pun tidaklah sempurna sangat malah tidak sekata selain kenderaan berat juga lalu-lalang, jadi memang kena berhati-hati.

“Masa kejadian, saya langsung tak dengar sebarang bunyi mencurigakan termasuk bunyi brek kenderaan pada awal pagi Sabtu lalu.

“Pagi tadi ada seorang penunggang motosikal yang nampak objek dalam sungai dan bila dah sah itu adalah kereta, dia terus menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Berita Berkaitan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top