zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia terus memperkukuh peranannya secara aktif dalam ekosistem tadbir urus perburuhan global melalui penyertaan di Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Sesi Ke-114 di Geneva.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, Malaysia kekal konsisten dalam mengukuhkan kerangka, norma dan pendekatan baharu bagi mengurus transformasi dunia pekerjaan yang sedang berubah pantas didorong oleh kemajuan teknologi, pendigitalan serta ketidaktentuan rantaian bekalan global.
Beliau berkata, negara turut memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa utama dalam memperhalusi agenda perlindungan sosial, keselamatan pekerjaan serta pembangunan hubungan industri yang lebih tangkas, inklusif dan responsif terhadap perubahan struktur pasaran buruh.
“Penyertaan aktif negara di peringkat ini turut membuka lembaran baharu dalam Global Coalition for Social Justice sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, perlindungan pekerja dan pertumbuhan yang lebih inklusif di peringkat global.
“Sepanjang persidangan, Malaysia menegaskan pendirian bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan kerangka dasar yang jelas, tersusun dan berkesan bagi mengelakkan ketidakseimbangan baharu terhadap tenaga kerja.
“Dalam masa yang sama, delegasi Malaysia terus memperkukuh pendekatan tripartite di semua peringkat sebagai asas kepada tadbir urus perburuhan yang stabil dan mampan di samping meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan, kredibiliti dan kejelasan kerangka dasar perburuhan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook tadi.
Menurut Ramanan, Malaysia turut berkongsi pengalaman pelaksanaan inisiatif domestik seperti Akta Pekerja Gig dan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 JAM) melalui platform antarabangsa itu.
Katanya, ia menjadi rujukan penting dalam perbincangan global berkaitan pengukuhan sistem perlindungan pekerja serta peningkatan standard perburuhan yang lebih progresif dan inklusif.
Beliau berkata, Malaysia turut menegaskan keperluan kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks yang memberikan tekanan terhadap pasaran buruh.
“Penekanan diberikan kepada pengukuhan sistem perlindungan sosial, peningkatan kemahiran tenaga kerja serta penyelarasan dasar yang lebih responsif dan adaptif.
“Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia di ILC Ke-114 ini memperkukuh kedudukan negara sebagai suara yang konstruktif dan berpengaruh dalam pembentukan norma serta hala tuju baharu perburuhan global yang lebih mampan, adil dan progresif dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




