Honor bakal perkenal peranti skrin boleh lipat paling nipis

Honor bakal perkenal peranti skrin boleh lipat paling nipis

saufi@mediaprima.com.my

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Honor bakal melancarkan peranti lipat kelas perdana terbaharunya iaitu Honor Magic V5 pada 15 Julai ini.

Pengenalan peranti berkenaan dijangka menjadi penanda aras baharu dalam industri telefon pintar menerusi evolusi teknologi baharu.

Peranti berkenaan mencuri perhatian ramai apabila ia diumumkan sebagai telefon lipat paling nipis di dunia iaitu memiliki tebal 8.8 milimeter (mm), lebih nipis daripada tiga keping kad bank.

Berbeza dengan kebanyakan peranti skrin lipat lain yang cenderung bersaiz besar dan janggal, Magic V5 tampil kompak, ringan dan selesa digenggam, menjadikannya sesuai untuk pengguna aktif yang sentiasa bergerak.

Honor Magic V5 bukan sekadar reka bentuk nipis, malah dilengkapi bateri 5820mAh, antara yang terbesar dalam kelas telefon lipat.

Dikuasakan teknologi jimat tenaga Honor E2, ia menjanjikan penggunaan sepanjang hari.

Malah, sistem pengecasan pantas 66W Honor SuperCharge membolehkan peranti dicas penuh dalam hanya 40 minit, manakala pengecasan tanpa wayar 50W turut disokong untuk kemudahan tambahan.

Satu lagi kelebihan Magic V5 adalah sistem kameranya.

Ia hadir dengan kamera telefoto periskop 64MP yang menyokong zum digital sehingga 100x, sesuai untuk merakam gambar dari jauh dengan jelas.

Ciri-ciri pengimejan berasaskan AI seperti AI Super Zoom dan AI Enhanced Portrait turut ditampilkan. Pengguna boleh merakam potret setanding kualiti studio serta memperhalus hasil tangkapan dengan ciri AI Editing seperti AI Cutout, Eraser, Outpainting dan Upscale.

Walaupun nipis, Magic V5 dibina untuk tahan lasak. Skrin dalamannya dilindungi bendalir bukan Newtonian, teknologi terkini yang membantu menyerap hentakan.

Ia turut dilengkapi sistem AI Pengesanan Objek Asing yang mampu mengesan partikel sekecil 0.8mm seperti pasir.

Skrin luar pula menggunakan Perlindungan NanoCrystal Anti-Calar, manakala belakang peranti diperbuat daripada gentian karbon Aerospace Special Fiber, 40 kali lebih tahan hentakan.

Engselnya juga dinaik taraf dengan Honor Super Steel Hinge mampu menampung berat sehingga 35 kilogram (kg) dan diuji untuk tahan 500,000 kali lipatan, bersamaan 100 lipatan sehari selama 13 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top