georgie@hmetro.com.my
Keagungan karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee akan terus dikenang sampai bila-bila. Sehingga sekarang, pelbagai jenis projek diusahakan demi menjaga legasinya itu.
Antaranya, Tanahair Films bakal menganjurkan sebuah projek mega Konsert Legasi P Ramlee yang akan berlangsung pada 20 September nanti di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Kenapa mega? Ia kerana individu yang terbabit dengannya bukan calang-calang. Ramai nama-nama handalan dihimpunkan dalam memberikan pengalaman luar biasa buat penonton nanti.
Dikemudi pelakon dan pengarah tersohor, Adlin Aman Ramlie, 53, selaku Pengarah Artistik, perinciannya dibuat begitu rapi.
Adlin tahu ia bukan tugas mudah, namun nekad menjanjikan acara yang akan dikenang lama.
“Tugas ini bukan pekerjaan ringan. Dia tidak semudah seperti kata-kata saya bercakap, ‘pitching’. Saya percaya akan berlaku sebuah perjalanan ‘roller coaster’ dalam eksplorasi kreatif kami.
“Tetapi saya percaya dengan kekuatan maestro, profesionalisme dan kekuatan peribadi yang dihimpunkan sebagai satu kumpulan, malam itu menjanjikan satu persembahan memberi impak dan kekal dalam ingatan kita.
“Kita sungguh beruntung kerana malam itu akan menjadi saksi kepada kejadian luar biasa,” katanya.
Justeru, Adlin menyeru sokongan daripada semua pihak demi pastikan acara itu berjaya menarik serta membuka mata ramai. Ia bukan acara hiburan semata-mata namun membawa nilai khazanah tinggi.
Dia juga teringin melihat konsert itu akan ditambah sehari lagi supaya lebih ramai dapat merasakan sendiri kehebatannya. Dia percaya kapasiti 3,500 itu bukan hal mustahil untuk diisi, namun harus realistik pada masa sama.
“Kita kena benar-benar ke depankan konsert ini dan orang beli tiket sepantas yang boleh. Ini kerana, kami mahu sasarkan untuk adakan malam kedua pula. Kita cuma ada kurang daripada 3,500 tempat duduk.
“Sepatutnya dia tak terlalu mudah untuk tak terlalu sukar untuk diisi, betul? Tapi kami perlukan momentum sokongan media khususnya. Banyak cerita akan berlaku dari hari ini hingga ke September,” katanya.
Adlin adalah pengasas Tanahair Films bersama Datuk Khairul Anwar Salleh. Syarikat terbabit dalam misi memperjuangkan segala naskhah seni yang hebat untuk diangkat di mata masyarakat.
Konsert Legasi P Ramlee menampilkan barisan penyanyi dari era berbeza yang cukup ikonik. Mereka termasuk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, MimiFly dan Nadeera.
Namun, lebih istimewa lagi, empat maestro muzik terkemuka tanah air iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani, Helen Yap dan Michael Veerapen menjadi tunjang penting dalam pementasan itu kelak.
Dengan kekuatan 60 pemuzik orkestra, acara itu bakal menghidupkan lebih 30 karya agung P Ramlee pada tahap terulung.
Acara itu dijangka menjadi penanda aras terpenting dalam industri hiburan tempatan.
Menurut Helen, dia sememangnya cukup menantikan peluang itu sekian lama. Dia teruja menjadi sebahagian daripadanya kerana menyifatkan ia sejarah baharu dalam industri muzik.
“Saya yakin acara itu akan menjadi gah dan memberi impak besar kepada pengikut muzik tempatan. Apatah lagi karya P Ramlee cukup saya segani dan tidak sabar memberi yang terbaik dalam khidmat saya,” katanya.
Turut membuat penampilan nanti adalah Artis Peniru atau Para Impersona iaitu P Radhi, Dannie Hasbullah dan Musly Ramlee.
Tiket konsert itu sudah dijual menerusi www.ticket2u.com.my bermula 26 Jun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




