Puteri sulung Raja Thailand mangkat

Puteri sulung Raja Thailand mangkat

BANGKOK – Puteri sulung Raja Thailand, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol, mangkat pada usia 47 tahun selepas lebih tiga tahun menerima rawatan di hospital susulan penyakit yang dihidapinya, menurut pengumuman rasmi Istana Diraja Thailand pada Jumaat.

Biro Rumah Tangga Diraja dalam satu kenyataan memaklumkan puteri itu mengalami jangkitan pada bahagian abdomen dan keadaan kesihatannya terus merosot sebelum mangkat dengan tenang pada petang Khamis.

Jenazah baginda akan disemayamkan di Istana Besar di Bangkok, manakala upacara pengebumian akan dilaksanakan dengan penghormatan tertinggi mengikut adat istiadat diraja Thailand.

Dikenali sebagai ‘Puteri Bha’ dalam kalangan rakyat Thailand, Puteri Bajrakitiyabha merupakan satu-satunya anak hasil perkahwinan pertama Raja Maha Vajiralongkorn dengan Puteri Soamsawali.

Baginda dimasukkan ke hospital sejak Disember 2022 selepas tiba-tiba jatuh sakit.

Pada Mei lalu, Biro Rumah Tangga Diraja memaklumkan keadaan kesihatan puteri berkenaan semakin merosot sehingga terpaksa bergantung kepada peralatan perubatan bagi menyokong fungsi paru-paru dan buah pinggang, selain rawatan ubat-ubatan.

Puteri Bajrakitiyabha mempunyai latar belakang profesional sebagai pendakwa raya dan diplomat.

Baginda menerima pendidikan di Britain, Thailand dan Amerika Syarikat (AS), sebelum memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Cornell di AS serta pernah berkhidmat sebagai Duta Thailand ke Austria.

Ketika mengadakan lawatan ke universiti berkenaan pada 2012, baginda pernah berkongsi pandangan mengenai perjalanan kerjayanya.

“Saya sering bertanya kepada diri sendiri, siapakah saya sebenarnya? Pendakwa raya? Peguam jenayah? Diplomat? Jawapannya adalah gabungan semuanya. Saya menganggap diri saya sebagai seorang hibrid,” katanya seperti dipetik Cornell Chronicle.

Seorang wanita menitiskan air mata sambil memegang foto Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Mahidol di hadapan Hospital Chulalongkorn, Bangkok pada 12 Jun 2026.Foto AFP.

Seorang wanita menitiskan air mata sambil memegang foto Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Mahidol di hadapan Hospital Chulalongkorn, Bangkok pada 12 Jun 2026.Foto AFP.

Selain itu, baginda turut memegang beberapa jawatan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta aktif memperjuangkan hak wanita, termasuk usaha memperbaiki keadaan wanita yang dipenjarakan.

Sebagai seorang puteri diraja, Puteri Bajrakitiyabha memainkan peranan istiadat yang penting dalam masyarakat Thailand, dengan institusi monarki kekal berada di kedudukan tertinggi dalam struktur sosial negara itu.

Baginda juga dilihat mempunyai hubungan rapat dengan ayahandanya dan dilantik memegang jawatan kanan dalam pasukan pengawal peribadi raja setahun sebelum dimasukkan ke hospital.

Raja Maha Vajiralongkorn yang kini berusia 73 tahun mempunyai tujuh orang anak hasil empat perkahwinan, namun belum mengumumkan pewaris takhta pilihannya, walaupun peraturan pewarisan diraja lebih memihak kepada waris lelaki.

Thailand turut mempunyai undang-undang lese-majeste yang ketat bagi melindungi institusi diraja daripada sebarang kritikan, dengan kesalahan di bawah peruntukan tersebut boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan. – AFP

Scroll to Top