'20 jemaah haji dikurung dalam apartmen selama 25 hari'

'20 jemaah haji dikurung dalam apartmen selama 25 hari'

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Dikurung dalam bilik apartmen kecil, makanan dicatu, bekalan elektrik dipotong dan terputus bekalan ubat bagi individu yang berdepan masalah kesihatan.

Itu antara pengalaman dilalui jemaah yang menjadi mangsa penipuan haji oleh sebuah agensi pelancongan (TA) dikendalikan pasangan suami isteri di Seri Kembangan, Selangor, bermula 2 Mei hingga 27 Jun 2024.

Pensyarah sebuah universiti tempatan dari Ipoh, Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid (bukan nama sebenar), 36, berkata, beliau dan isterinya, Nur (bukan nama sebenar), 36, menyertai pakej haji yang diiklankan melalui Facebook pada tahun lalu selepas tertarik dengan tawaran menarik syarikat berkenaan.

Menurutnya, urusan penyertaan mereka dilakukan menerusi seorang kenalan yang juga ejen syarikat itu di Negeri Sembilan, sebelum membayar RM90,000 untuk dua orang.

“Semuanya mula mencurigakan apabila kami tiba di Tanah Suci Makkah. Kami baru sedar visa yang digunakan adalah visa pelancong, bukan visa Mujamalah seperti dijanjikan.

“Lebih mengejutkan, tiket penerbangan balik pula didapati hanya ‘dummy’ bagi mengaburi peserta. Kami, seramai 20 orang, dikurung selama 25 hari di bilik apartmen dengan bercampur lelaki dan wanita.

“Kami juga tidak dibenarkan keluar bagi mengelak ditahan pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Difahamkan, 300 peserta menyertai pakej sama dan syarikat terbabit turut beberapa kali dilaporkan media sebelum ini atas dakwaan menipu pakej haji dan umrah.

Susulan kejadian itu, Rashid membuat laporan polis pada 16 Mei lalu dan memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Ipoh, bagi menuntut kerugian.

Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya turut mengeluarkan notis penyitaan terhadap aset syarikat terbabit yang dijadualkan akan dilelong pada 17 Julai ini sekiranya ia gagal membayar jumlah tuntutan yang sudah diputuskan tribunal.

“Saya nasihati orang ramai supaya berhati-hati memilih agensi pelancongan dan mohon pihak berkuasa pantau serta ambil tindakan kerana syarikat ini masih beroperasi membawa jemaah mengerjakan umrah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top