Pendaki cemas air mengalir deras dari puncak Gunung Kinabalu

Pendaki cemas air mengalir deras dari puncak Gunung Kinabalu

am@hmetro.com.my

Ranau: Pendaki Gunung Kinabalu berdepan detik mencemaskan berikutan air mengalir deras dari puncak gunung di sepanjang laluan ketika melakukan pendakian awal pagi ini disebabkan hujan lebat dalam kejadian pagi hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Mount Kinabalu, beberapa malim gunung iaitu Luke, Japarin, Ewon, Fredie dan Ronny memaklumkan cuaca berubah mendadak sejak awal pagi, menyebabkan laluan menjadi licin dan berair terutama di kawasan berbatu dan berhampiran anak sungai.

Menurut mereka, keadaan seperti ini bukan luar biasa namun tetap berisiko tinggi setiap kali hujan lebat berlaku.

“Laluan boleh menjadi sangat licin, malah aliran air yang deras dari puncak boleh mengancam keselamatan pendaki.

“Kami sentiasa ingatkan pendaki supaya berhenti dan berteduh jika keadaan berbahaya. Jangan ambil risiko mendaki sendirian atau tanpa malim gunung,” kata seorang malim gunung yang bertugas.

Pihak Taman-Taman Sabah (TTS) turut mengeluarkan peringatan supaya semua pendaki mematuhi arahan keselamatan serta tidak meneruskan pendakian tanpa pengawasan.

Pendaki juga dinasihatkan membawa pakaian hujan dan kelengkapan asas keselamatan setiap kali mendaki.

Sejak pagi haari ini, tular beberapa video di media sosial memaparkan keadaan mencemaskan termasuk insiden seorang pendaki tergelincir akibat aliran deras, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Setakat tengah hari ini, tiada insiden tidak diingini berlaku dan pemantauan masih diteruskan oleh petugas TTS bersama malim gunung bagi memastikan keselamatan pendaki yang berada di laluan.

Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095 meter terus menjadi tumpuan pendaki dari dalam dan luar negara, namun faktor cuaca kekal menjadi elemen penting dalam menentukan kelancaran pendakian.

Pihak berkuasa turut menasihatkan mereka yang merancang untuk mendaki dalam waktu terdekat agar memantau ramalan cuaca dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan sebelum memulakan pendakian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top