Penyanyi, pelakon dan hos popular Alif Satar sekali lagi membuktikan kredibilitinya bukan sekadar selebriti versatil.
Menjadi pilihan pelbagai jenama untuk dijadikan wajah wakilan, Alif berpendapat rezeki hadir kerana prinsip yang dipegang dalam menyampaikan sesuatu yang benar-benar diyakininya.
“Bila kita nak ajak orang, kita kena buat dulu. Nak ajak orang berlari, kita kena pergi buat latihan dulu. Nak ajak orang solat subuh, kita kena bangun sembahyang Subuh dulu.
“Nak ajak orang kumpul emas, kita kena buat dulu. Kalau kita tak buat, kita tak akan faham,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu ditemui pada majlis pelancaran emas berbentuk keris dan pelantikan Alif Satar sebagai duta GB Gold untuk tahun kedua di Shah Alam, baru-baru ini.

Selain Alif, majlis terbabit turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif GB Gold, Shahfizzam Moideen.
Tambah Alif, kepercayaannya terhadap produk yang dipromosikan sangat penting dan dia enggan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Saya rasakan itu kelebihan saya. Apa yang saya promosikan, jenama yang angkat saya jadi duta, saya akan menjiwai identiti jenama itu sepenuhnya, bukan sekadar angkat gambar,” tegasnya.
Bersyukur dapat menyambung kontrak menjadi duta untuk tahun kedua, Alif turut berkongsi bahawa dia telah mula menyimpan emas sejak usia 16 tahun.
“Saya simpan emas sejak awal saya bekerja. Bermula dengan digital, sekarang saya simpan emas secara fizikal menerusi GB Gold. Simpanan ini akan berkembang kerana harga emas semakin naik,” tambahnya yang berharap usahanya dapat memberi inspirasi kepada peminat dan masyarakat umum untuk lebih celik kewangan.

Dalam majlis yang sama, GB Gold turut melancarkan produk eksklusif terbaharu iaitu emas berbentuk keris pertama di Malaysia, sebuah inovasi yang menggabungkan elemen seni warisan Melayu dengan simpanan pelaburan emas tulen 999.9.
Ketua Pegawai Eksekutif GB Gold, Shahfizzam Moideen berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 30,000 unit untuk edisi khas ini meliputi dinar dan jongkong emas 1 gram.
“Edisi eksklusif ini menampilkan rekaan keris yang diukir halus dan diperbuat sepenuhnya daripada emas tulen 999.9, menjadikannya bukan sahaja lambang warisan yang harus dipelihara tetapi juga sebagai sebuah simpanan yang diyakini nilainya,” jelas Shahfizzam.
Produk ini dijangka menjadi rebutan memandangkan ia ditawarkan dalam kuantiti terhad dan hanya boleh didapati menerusi platform rasmi GB Gold seperti laman web www.gbgold.my, TikTok Live dan wakil jualan sah.




